Anda di sini

Premis sarang burung walet beroperasi tanpa lesen diserbu

Advertisement
 Antara peralatan untuk memanggil burung yang dirampas dari sebuah perusahaan sarang burung walet tanpa lesen di Sarikei.
DIRAMPAS: Antara peralatan untuk memanggil burung yang dirampas dari sebuah perusahaan sarang burung walet tanpa lesen di Sarikei.

KUCHING: Perusahaan sarang burung walet yang menggunakan tingkat satu dan dua sebuah bangunan kedai di Jalan Wharf, Sarikei diserbu kerana menjalankan kegiatan tersebut tanpa lesen.

Serbuan dilakukan oleh Jabatan Hutan bersama pihak polis, Pejabat Daerah Sarikei, Jabatan Tanah dan Survei, bomba serta Sarawak Forestry Corporation pada jam 10.20 pagi semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Hutan, tindakan tersebut diambil disebabkan kedegilan pengusahanya yang pernah diberi amaran sebelum ini agar menghentikan kegiatan tersebut, namun tidak diendahkan.

Malah katanya, kegiatan tersebut sudah empat kali diadukan oleh orang awam kepada Jabatan Hutan kerana bunyi bising yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan mereka.

“Oleh itu, kami telah menyerbu tempat berkenaan dan merampas peralatan yang digunakan untuk memanggil burung,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Antara peralatan yang dirampas ialah set pembesar suara dan pemasa yang dianggarkan bernilai lebih RM2,000.

Bagaimanapun, pengusaha sarang burung walet tersebut tidak kelihatan semasa serbuan dilakukan.

Advertisement