Anda di sini

PSG dijangka bakal ‘kehilangan’ khidmat Neymar

Advertisement
 Neymar(tengah) mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan persahabatan di antara Brazil dan Cameroon di Milton Keynes, England Selasa lepas. — Gambar Reuters
CEDERA: Neymar(tengah) mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan persahabatan di antara Brazil dan Cameroon di Milton Keynes, England Selasa lepas. — Gambar Reuters

MILTON KEYNES, England: Neymar mungkin diragui dapat diturunkan untuk kelabnya, Paris Saint Germain (PSG) pada perlawanan Liga Juara-Juara menentang Liverpool minggu hadapan selepas mengalami kecederaan ketika beraksi untuk Brazil, yang menewaskan Cameroon 1-0 pada perlawanan persahabatan di sini Selasa lepas.

Penyerang itu mengalami apa yang dikatakan kecederaan pangkal paha dan digantikan seawal minit kelapan perlawanan di Stadium MK.

Richarlison, pengganti Neymar, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit akhir sebelum rehat untuk gol ketiganya dari enam penampilan untuk memastikan kemenangan skuad ‘Selecao’.

Sorakan dan juga cemuhan menyambut kemunculan Neymar di Stadium MK, dengan ‘lakonannya’ di Piala Dunia 2018 menjadi antara punca cemuhan sesetengah penonton.

Dan tiada banyak simpati juga untuk penyerang bintang itu apabila dikeluarkan di awal permainan selepas tidak memberikan banyak impak untuk pasukannya.

Dia mula mendapatkan rawatan seawal minit kelima dan selepas kembali dan melakukan satu rembatan liar, dia gagal meneruskan perlawanan dan dikeluarkan dari padang.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya cepat sembuh, saya fikir ia (kecederaan) tidak serius,” kata Neymar menerusi akaun rasmi Instagramnya.

Richarlison kelihatan lebih berbahaya sebaik sahaja dimasukkan dan Roberto Firmino mempunyai tiga peluang terbaik untuk membuka jaringan sebeulm Richarlison menanduk satu umpanan Willian beberapa saat sebelum rehat.

Cameroon hampir mengikat kedudukan pada minit ke-52 tetapi Stephane Bahoken gagal menyempurnakan umpanan cantik Karl Toko Ekambi.

Kemenangan membolehkan Brazil mencipta rekod dengan enam kemenangan dari enam perlawanan dan juga tanpa bolos dari kesemua perlawanan itu sejak Piala Dunia 2018.

“Kami menamatkan tahun ini dengan usaha yang kami lakukan sehingga sekarang, semua perlawanan terakhir adalah penting untuk membantu kami bangkit dari kekecewaan di Piala Dunia,” tambah Neymar.

“Kami tetap kuat, fokus dan sentiasa mahu menjadi lebih bagus lagi.”

PSG akan menentang Liverpool pada 28 Februari depan dengan semua empat pasukan dalam Kumpulan C masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara. — AFP

Advertisement