Anda di sini

Kemalangan maut, pengguna motosikal paling berisiko

Advertisement
ABDUL Muis menyempurnakan upacara gimik pelancaran Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2018 Peringkat Negeri di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
ABDUL Muis menyempurnakan upacara gimik pelancaran Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2018 Peringkat Negeri di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

TAWAU: Golongan pengguna motosikal masih kekal sebagai pengguna jalan raya paling berisiko di negara ini apabila mencatatkan lebih 60 peratus angka kematian setiap tahun.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Abdul Muis Picho berkata angka itu meliputi 44, 037 kematian pengguna motosikal dalam tempoh 10 tahun (2008 - Jun 2018).

“Kita minta penunggang atau pembonceng motosikal supaya lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya dan mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Abdul Muis berkata demikian semasa berucap merasmikan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2018 Peringkat Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, bilangan pengguna motokar yang termasuk ke dalam angka kematian pula 20 peratus iaitu 14, 345 kematian dalam tempoh antara 2008 sehingga Jun 2018.

“Kota Kinabalu kekal sebagai daerah paling tinggi merekodkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 5, 867 pada 2017, diikuti Sandakan (1,981) dan Penampang (1,513).

“Tawau pula sebanyak 1, 349 kes, namun Keningau mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 44 kematian daripada 782 kes kemalangan yang dilaporkan tahun lepas,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata statistik juga menunjukkan golongan berumur 16 hingga 20 tahun mencatat angka kematian paling tinggi akibat kemalangan, diikuti 21-40 tahun.

Beliau berharap semua pihak mengambil iktibar dan pengajaran terhadap risiko musibah kemalangan jalan raya dan mengelak daripada termasuk ke dalam statistik kemalangan.

“Majlis Keselamatan Jalan Raya Sabah juga diharap dapat memperkasakan peranannya di seluruh negeri, khususnya di daerah yang memiliki kes kemalangan dan kematian tinggi.

“Kerajaan komited mengurangkan kes kematian di atas jalan raya, kerana rakyat aset penting negara, lebih-lebih anak muda sebagai pelapis kepimpinan akan datang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement