Anda di sini

Pacquiao dedah kemungkinan pertarungan ulangan dengan Floyd Mayweather

Advertisement
Manny Pacquiao

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS): Peninju veteran dari Filipina, Manny Pacquiao, mendedahkan Isnin lepas di mana beliau ada bercakap dengan Floyd Mayweather tentang berkemungkinan pertemuan semula selepas pertarungan pada 2015 tetapi berkata tiada keputusan akan dibuat sehingga Tahun Baharu.

Bercakap di New York untuk mengesahkan perincian pertarungan pada 19 Januari menentang Adrien Broner, Pacquiao berkata beliau ada membincangkan satu pertarungan ulangan dengan Mayweather semasa kunjungan ke Jepun baru-baru ini.

“Apabila saya bertemu dengan Floyd di Jepun, kami berbual dan beliau berkata beliau mahu kembali dari persaraan untuk mencabar saya,” kata Pacquiao.

“Apa yang saya tahu ialah bertarung dalam gelanggang dan menghiburkan orang. Ia tugas saya. Floyd sudah kembali dari persaraan dan kita akan lihat selepas pertarungan ini.”

Mayweather mencipta kemenangan kiraan mata ke atas Pacquiao pada 2015, yang digelar “Pertarungan Kurun Ini” tetapi dianggap mengecewakan walaupun pertarungan dengan pendapatan tertinggi sepanjang zaman.

Sejak itu, spekulasi tentang kemungkinan pertarungan ulangan di antara dua jaguh tinju itu kerap kedengaran, dengan Mayweather ada berkata pada bulan September di mana beliau sudah bersedia untuk menentang Pacquiao.

Di AS, Pacquiao, yang akan bertarung buat kali pertama sejak dua tahun untuk pertarungan pada bulan Januari, berkata beliau memberikan fokus sepenuhnya pertarungan menentang Broner sebelum sebarang pertarungan menentang Mayweather.

“Kami tidak dapat memperkecilkan Broner dan pertarungan ini,” kata Pacquiao. “Perkara tentang Floyd Mayweather akan dibincangkan selepas pertarungan ini.”

Pacquiao, 39, akan  menentang Broner di MGM Grand Garden Arena di Las Vegas.

Pacquiao memenangi kejuaraan welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), satu langkah di bawah juara WBA yang belum kalah, Keith Thurman, selepas menewaskan Lucas Matthysse di Kuala Lumpur pada bulan Julai.

Pacquiao, dengan rekod 60-7, dua seri dan 39 kemenangan TKO (kalah tumbang)dalam kariernya yang bermula pad 1995, akan mencecah usia 40 tahun pada bulan Disember sementara Broner, peninju AS, mempunyai rekod 33-3 dengan sekali seri dan 24 kemenangan TKO.

Pacquiao adalah satu-satu peninju yang memenangi kejuaraan dunia dalam lapan kelas berat berbeza dan pernah bersara pada 2016.

Broner berkata beliau mahu memastikan Pacquiao bersara sepenuhnya selepas pertarungan ini.

“Saya sudah menjalankan tugas saya dalam sukan ini dan ia adalah masa untuk saya mendapatkan hak saya,” kata Broner. “Saya mendapat lebih banyak tontonan berbanding orang lain apabila saya bertarung. Ramai orang akan melihat saya memastikan Pacquiao bersara sepenuhnya dan tanpa sebarang gelaran.”

Bulan lepas, Pacquiao menyertai kumpulan promoter milik Al Haymon, Premier Boxing Champions selepas sebelum ini bersama-sama promoter Top Rank milik Bob Arum, pesaing utama Haymon sejak 14 tahun yang lalu.

Pertukaran itu memastikan Pacquiao mempunyai peluang bertarung dengan peninju terbaik dalam kelas welterweight kerana peninju Haymon adalah termasuk Thurman (28-0), Juara Majlis Tinju Dunia (WBC), Shawn Porter (29-2) dan juara Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), Errol Spence (24-0). — AFP

Advertisement