Anda di sini

KPI diminta tetapkan harga siling yuran sekolah

Advertisement
 Daud (duduk, tengah) memangku salah seorang murid pendidikan khas.
PRIHATIN: Daud (duduk, tengah) memangku salah seorang murid pendidikan khas.

BONGAWAN: Kementerian Pelajaran dan Inovasi (KPI) diminta menetapkan satu harga siling bagi bayaran yuran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mengelak ibu bapa terbeban.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusuf berkata, ia penting berikutan ramai ibu bapa merungut mengenai bayaran yuran yang didakwa mahal di sesetengah sekolah di negeri ini.

Beliau yang juga ADUN Bongawan memberitahu sebahagian besar ibu bapa khususnya golongan kurang berkemampuan serta mempunyai anak ramai merasa tertekan dengan situasi itu.

“Tindakan dan perhatian Kementerian Pelajaran dan Inovasi, termasuk Kementerian Pendidikan diperlukan bagi menangani masalah ini memandangkan tidak semua ibu bapa berkemampuan.

“Walaupun yuran-yuran ini yang difahamkan untuk kepentingan aktiviti dan pembangunan pelajar, namun pihak sekolah harus bertimbang rasa dengan memastikan bayaran tidak membebankan.

“Cadangan saya, mungkin kementerian berkaitan (Pelajaran dan Inovasi) menetapkan satu jumlah ‘mampu bayar’ bagi yuran-yuran ini, sekali gus mengurangkan beban ibu bapa terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Bongawan di Bongawan Golf Resort, di sini.

Hadir sama, Pegawai Khas kepada Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Arzizan Zaini dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan Richard Manuel.

Dalam pada itu, Daud berkata pihaknya prihatin dengan masalah itu dan berusaha membantu meringankan bukan saja beban ibu bapa terbabit tetapi juga sekolah-sekolah di Bongawan.

Untuk tujuan itu, pihaknya akan menyalurkan sedikit dana kepada setiap sekolah di kawasan ini bagi memastikan pembangunan pendidikan di sini terus membangun.

“Ini antara usaha kita sebagai sebuah kerajaan baharu, iaitu berusaha sebaik mungkin merealisasikan perancangan bantuan ini bagi membantu ibu bapa dan sekolah di kawasan ini,” katanya.

Advertisement