Anda di sini

GPS akan pertimbang kemasukan parti lain

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang murid, sambil diperhatikan Juma’ani (dua kiri), Dr Annuar (kiri) dan Hamdi.
TAHNIAH: Abang Johari (tiga kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang murid, sambil diperhatikan Juma’ani (dua kiri), Dr Annuar (kiri) dan Hamdi.

SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertimbang kemasukan parti lain selepas mendapat persetujuan tiga per empat parti komponen.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan ini berbeza semasa bersama Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Kita sudah ada persetujuan, di mana tidak seperti BN, kalau tiga per empat bersetuju menerima parti-parti baharu maka bermakna kita boleh mempertimbang kemasukan parti-parti lain.

“Kalau dalam BN ia mesti 100 peratus,” katanya apabila ditanya mengenai permohonan daripada parti-parti lain.

Untuk rekod, setakat ini GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Ditanya mengenai Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut dan hanya menjawab: “Tunggu dululah...sijil dahulu.”

Terdahulu, presiden PBB itu ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Graduasi Sekolah Kebangsaan Abang Ali Sibu Kali Ke-65/2018 petang semalam.

Beliau ditemui bagi mendapatkan ulasan lebih lanjut berhubung pendaftaran GPS diluluskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diumumkan Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Berhubung perkara itu, Abang Johari merakamkan terima kasih kepada Muhyiddin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Saya berterima kasih kepada pendaftar (ROS) khasnya kepada Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) atas kelulusan Gabungan Parti Sarawak.

“Kita akan terus menjalankan tugas kita dalam amalan demokrasi yang ada, untuk kepentingan negeri Sarawak dan negara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya pendaftaran ini GPS sudah tentu dapat menjalankan tugas dan seterusnya menyampaikan kehendak rakyat kepada pihak-pihak terbabit.

“Sudah tentu dengan kerjasama yang ada di antara kita demi kepentingan negara dan kepentingan negeri Sarawak.

“Saya yakin bahawa kolaboratif ini dan kerjasama yang kita adunkan dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kepada negeri ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai logo GPS, jawab beliau: “Kita menunggu butirannya, kerana saya baharu sahaja melihat apa berlaku di Parlimen susulan soalan daripada Yang Berhormat Datuk Alexander Nanta Linggi yang juga Setiausaha Agung (GPS) kita.

“Apabila saya menerima butiran, baharulah kita tahu apa yang hendak kita laksanakan,” katanya.

Hadir sama isterinya, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Abang Ali Datuk Mohamad Yusnar Matalie, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Radin Foji Radin Abdul Rahim dan Guru Besar SK Abang Ali, Hamdi Najdi.

  • oleh
  • Advertisement