Anda di sini

Halang motosikal sebelum samun OKU

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) menjadi mangsa samun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Masja pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching (KPD) ACP Ng Ah Lek, dalam kejadian itu, mangsa, 19, yang sedang menunggang motosikal dihampiri sebuah kereta di Jalan Masja, di sini.

Katanya, kereta itu kemudian menghalang pergerakan motosikal ditunggang mangsa sebelum lelaki yang keluar dari kenderaan tersebut menyamun mangsa.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan berusaha mengesan dua suspek yang menaiki kereta jingga terbabit.

"Kejadian tersebut berlaku lewat malam dan suspek disyaki menggunakan senjata dan telah melarikan telefon bimbit mangsa yang terletak dalam bakul motosikal termasuk kunci motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ng memberitahu, ekoran insiden itu mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan berjumlah RM1,000.

Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ng pada masa sama menyeru agar masyarakat terus bekerjasama mencegah jenayah samun yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan mengancam ketenteraman awam.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian, atau mengenai suspek-suspek dikehendaki untuk menghubungi talian penting 082-244444 atau berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat. 

Orang ramai juga boleh menyalurkan terus maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Jayderam Lagan Ating di talian 0164715102.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan hukuman penjara sehingga 20 tahun bersama sebatan," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement