Anda di sini

Brazil atasi Uruguay 1-0 melalui penalti

Advertisement
 Neymar menjaringkan gol melalui tendangan penalti pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Brazil dan Uruguay di Stadium Emirates di London. — Gambar AFP
MUDAH: Neymar menjaringkan gol melalui tendangan penalti pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Brazil dan Uruguay di Stadium Emirates di London. — Gambar AFP

LONDON: Neymar dengan tenang menjaringkan tendangan penalti yang kontroversi untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Brazil ke atas Uruguay dalam perlawanan persahabatan yang hangat kelmarin.

Neymar, kapten Brazil, menjadi sasaran beberapa kekasaran yang serius oleh Uruguay apabila perlawanan di antara dua seteru Amerika Selatan itu meluap-luap di Stadium Emirates milik kelab Arsenal.

Namun penyerang Paris Saint-Germain itu ketawa pada akhirnya apabila dia menyempurnakan tendangan penalti pada hujung babak kedua setelah Diego Laxalt didakwa mengasari Danilo.

Brazil kini tidak tewas dalam 10 pertemuan terakhir mereka dengan Uruguay, yang belum lagi dapat menewaskan juara dunia lima kali itu sejak 2001.

Brazil, yang sedang membuat persiapan untuk menganjurkan Copa America pada tahun depan, menentang Cameroon dalam satu lagi perlawanan persahabatan di Milton Keynes pada Selasa ini.

Ia merupakan perlawanan terakhir mereka pada 2018, selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut dalam perlawanan persahabatan sejak mereka tewas dalam perlawanan suku akhir menentang Belgium di Piala Dunia.

“Ia adalah perlawanan tetangga Amerika Selatan yang tipikal. Kami menghormati Uruguay. Mereka mempunyai pemain berbahaya,” kata pengurus Brazil, Tite.

“Kami berjaya mengawal mereka. Ini adalah perlawanan ketiga kami setakat ini tanpa dibolosi sebarang gol.”

Pengurus Uruguay, Oscar Tabarez, menambah: “Neymar bermain dengan kebebasan. Kami tidak mengawalnya dengan sangat baik.

“Namun saya rasa pasukan muda kami menandingi Brazil. Malangnya ia ditentukan oleh situasi yang kontroversi.”

Neymar menjadi pemain tarikan utama apabila Maracana datang ke Holloway Road.

Setiap sentuhannya mengundang sorakan daripada penonton yang menyukainya dan dia tidak menunggu lama untuk mencipta peluang pertama pasukan Selecao.

Selepas dibentes oleh Rodrigo Bentancur setelah melakukan larian yang ranggi, Neymar bangun untuk melakukan tendangan percuma yang diberikan dan meledakkan rembatan rendah yang memaksa Martin Campana untuk bertindak dengan baik bagi menyelamatkan keadaan.

Neymar menyangka dia sudah membuka jaringan apabila dia menolak bola ke dalam gol daripada hantaran silang Filipe Luis, tetapi usaha jarak dekatnya didapati ofsaid.

Neymar, yang mencuba nasib dari jarak jauh tidak lama kemudian, merembat tendangan kencang yang melepasi palang gol Campana.

Uruguay sendiri tidak kekurangan kuasa bintang dan juara dua kali Piala Dunia itu nyaris meletakkan diri di hadapan pada minit ke-23.

Penyerang Barcelona, Luis Surez mengambil kesempatan ke atas kecuaian Brazil yang melepaskan bola dengan meledakkan rembatan cantik yang ditolak ke atas oleh Alisson Becker.

Pemain Uruguay, Lucas Torreira, bermain di stadium yang dikenalinya dan pemain tengah Arsenal itu menunjukkan sisi kental yang menyebabkannya disayangi penyokong ‘The Gunners’ apabila dia dilayangkan kad kuning kerana mengasari Neymar.

Bentesan keras itu adalah tipikal bagi pendekatan lasak yang masih menjadi ciri-ciri Uruguay selama berdekad-dekad.

Neymar akhirnya membalas dendam ke atas layanan kasar yang dialaminya pada minit ke-76.

Neymar mengambil bola dan menjaringkan gol dari petak penalti. — AFP

Advertisement