Anda di sini

Djokovic mara ke separuh akhir ATP Finals selepas benam Zverev 6-4, 6-1

Advertisement
DJOKOVIC
DJOKOVIC

LONDON: Novak Djokovic menempah tempat pada peringkat separuh akhir kejohanan tenis ATP Finals selepas pemain nombor satu dunia itu menewaskan Alexander Zverev 6-4, 6-1 kelmarin.

Djokovic memburu kejuaraan ATP Finals keenamnya dan pertama sejak 2015 di acara penamat musim yang berprestij itu di O2 Arena, London.

Dalam penampilannya yang ke-11 di kejohanan itu, bintang Serb itu dijamin akan mara ke peringkat separuh akhir buat kali kelapan selepas Marin Cilic menewaskan John Isner 6-7 (2/7), 6-3, 6-4 dalam perlawanan kedua kelmarin.

Djokovic, yang menewaskan Isner dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulannya, menikmati kebangkitan menakjubkan pada separuh kedua 2018 dan menjulang trofi di tebingan Sungai Thames adalah cara yang sempurna untuk menamatkan tahunnya.

Djokovic seterusnya menentang Cilic dalam perlawanan kumpulan terakhir manakala Zverev, yang menewaskan Cilic untuk memulakan kempennya di kejohanan ini, menentang Isner.

Pemain berusia 32 tahun itu telah dihujani dakwaan bahawa dia sudah kehilangan keinginan untuk berjaya dan melepasi prestasi terbaiknya selepas masalah kecederaan dan peribadi mengancam untuk merosakkan kariernya pada 2017.

Namun Djokovic sudah mengatasi masalahnya dengan menakjubkan, memenangi kejuaraan Wimbledon dan kejohanan Terbuka AS, kembali ke tempat nombor satu di dunia dan menjadi pemain pertama yang memenangi kesemua sembilan kejohanan Masters 1,000.

“Saya mendapati ia lebih sukar berbanding dalam perlawanan pertama ketika menentang John Isner. Saya bermain dengan baik pada pertengahan set kedua dan mula memukul bola dengan baik,” kata Djokovic, yang mengalami hanya dua kekalahan sahaja dalam Finals sejak 2012.

“Zverev memounyai servis pertama yang besar, tetapi peratusannya turun dalam set kedua. Ia membolehkan saya untuk masuk. Dia membuat banyak kesilapan yang membantu saya menang.

“Saya akan menikmati sedikit masa berkualiti bersama keluarga saya dan kemudian bersiap sedia untuk perlawanan terakhir dalam kumpulan.”

Zverev sedang muncul sebagai salah seorang bintang muda paling cerah dalam Jelajah Tenis selepas dia naik ke tempat kelima di dunia.

Pemain berusia 21 tahun itu mengejutkan Djokovic dalam perlawanan akhir di Rom pada tahun lepas tetapi pemain Serb itu menguasai permainan ketika mereka bertemu dalam perlawanan separuh akhir yang berat sebelah di Shanghai pada bulan lepas dan cerita sekali lagi sama dalam pertemuan ketiga mereka. — AFP

Advertisement