Anda di sini

Sarawak paling cemerlang

Advertisement
 Abang Johari tiba di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.
CERIA: Abang Johari tiba di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching untuk menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tiada negeri di Malaysia atau kerajaan pusat mempunyai rekod tadbir urus cemerlang sehebat Sarawak.

Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak  menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Sijil Audit Bersih untuk Pengurusan Akaun Awam daripada Ketua Audit Negara selama 16 tahun berturut-turut.

Abang Johari berkata, rizab negeri juga tinggi selain mendapat standard A darpada Stable State Credit Rating dan Moody’s Investors Service.

“Adakah ini bukan testimoni pengurusan kewangan berhemah, urus tadbir dan khidmat awam serta pentadbiran negeri yang cemerlang,” jelas beliau dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Untuk memantapkan pencapaian dan rekod urus tadbir cemerlang, Kerajaan Sarawak akan melibatkan Ketua Audit Negara dalam jawatankuasa penganugerahan projek di bawah Lembaga Tender Negeri dipengerusikan Setiausaha Kewangan Negeri.

Selain itu, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia juga dijemput untuk menghadiri Mesyuarat Tender Negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta pembangkang untuk tidak mempersoalkan integriti dan keikhlasan Kerajaan Sarawak.

“Kita tidak akan membuat kesilapan dalam objektif kita dan tidak akan gagal dalam penyampaian perkhidmatan kita.

“Kita akan terus mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peruntukan kewangan Arahan Perbendaharaan,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari meminta rakyat untuk tidak terpedaya dan menjadi mangsa politik murahan pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan tanpa fakta dan menggunakan persepsi semata-mata.

“Saya ulang sekali lagi kepada ahli pembangkang di Dewan, sekiranya anda mahu mencabar kita, cabar kita dengan fakta dan bukan hanya mewujudkan persepsi orang awam dan memburukkan karaktor. Ini adalah politik murah,” tegasnya.

Menurut Abang Johari, beliau mentadbir Sarawak bukan untuk faedah peribadi tetapi kepentingan negeri, rakyat dan masa depan Sarawak.

“Ini bukan permainan kad dan saya tidak akan membenarkan negeri ini dimusnahkan oleh politik murahan.

“Sehubungan itu, kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak gentar dengan taktik pembangkang dan fokus GPS adalah pembangunan serta menyediakan perkhidmatan kepada semua rakyat,” tegasnya.

Menurut beliau, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pusat, mereka telah menggunakan isu rasuah sebagai cara untuk menjatuhkan pemimpin.

“Kami tidak gentar akan taktik ini dan kami bersedia untuk berdepan dengan apa jua isu yang pembangkang bangkitkan tanpa rasa takut dan memilih,” jelasnya.

Abang Johari berkata, pembangkang didapati menggunakan taktik menakutkan pentadbiran Sarawak dengan secara terus- menerus mempersoalkan kerajaan dan menyindir kerajaan sebagai rasuah dan tidak telus.

Pembangkang kerap melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap beliau, menteri kabinet serta kakitangan awam tanpa sebarang bukti kukuh untuk mewujudkan persepsi kepada rakyat ada sesuatu yang salah dengan kerajaan.

“Apabila mereka mengulangi dakwaan tersebut berkali-kali, mereka berharap rakyat akan percaya dengan cerita mereka dan akan beralih menentang kerajaan,” ujarnya.

Abang Johari berkata, GPS fokus terhadap pembangunan luar bandar dan bandar serta menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

Advertisement