Anda di sini

Polis bantuan parah kenderaan dipandu rempuh bas sekolah

Advertisement
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

LAHAD DATU: Seorang polis bantuan cedera parah selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah bas sekolah di Kilometer 2, Jalan Tungku Felda Sahabat, di sini pada Rabu.

Mangsa, 34, dikatakan baru balik dari sebuah klinik dan sedang menuju ke rumahnya namun setibanya di lokasi kejadian, telah hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.05 petang itu melibatkan kemalangan sebuah Perodua Viva dengan sebuah bas sekolah yang dalam perjalanan mahu mengambil pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku, yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

"Pemandu bas sekolah cuba mengelak ke bahu kiri jalan tetapi kenderaan mangsa terus terlanggar bahagian tepi depan sebelah kanan bas hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan terpusing melintang di atas jalan.

"Mangsa yang tersepit dalam kereta Viva dipandunya berjaya dikeluarkan anggota bomba manakala pemandu bas sekolah tidak mengalami kecederaan," katanya.

Mangsa difahamkan mengalami patah paha dan kaki kanan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement