Anda di sini

Kadar pinjaman tidak berbayar PKS di Malaysia antara tertinggi di dunia

Advertisement

JOHOR BAHRU: Malaysia antara negara yang mempunyai kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) yang tertinggi di dunia dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata kadar NPL dalam kalangan usahawan PKS di negara lain adalah rendah iaitu sekitar lapan peratus dan ke bawah, namun Malaysia mencatatkan dua angka.

“Kalau sebut dua angka, itu bermakna 15, 16, 20 (peratus). Itu dah tinggi. Di negara lain, NPL mereka begitu rendah. Contohnya di China, saya difahamkan NPL mereka hanya dua peratus sahaja.

“Kenapa mereka boleh melakukan begitu? Mungkin mereka mengambil pembelajaran daripada model (ekosistem PKS) yang berjaya. Kita juga sedang berusaha mendekati dan cuba memahami.

“Contohnya di Jerman, ada satu model yang boleh membantu PKS dengan kadar pulangan begitu tinggi dan NPL di bawah dua peratus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) di Pusat Beli-Belah Angsana di sini, kelmarin.

Mohd Redzuan berkata kerajaan memberi penjelasan kepada usahawan mengenai ekosistem perniagaan yang diceburi dalam usaha mengurangkan masalah NPL.

Menurutnya, kadar NPL yang tinggi di Malaysia juga dapat dilihat menerusi jumlah pinjaman tidak berbayar kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) yang mencatatkan RM600 juta setakat ini.

“Itu untuk TEKUN sahaja. Di bawah PKS dan lain-lain, ada juga,” katanya sambil memberitahu antara faktor kegagalan untuk membayar balik pinjaman adalah disebabkan tidak memahami pasaran perniagaan, permintaan pasaran, kos perniagaan dan kurang kreativiti dalam menjalankan perniagaan.

“Selalunya yang gagal ini adalah orang yang meniru sahaja (meniru perniagaan orang lain). Dia tunggu. Dia tak pimpin. Dia tiru tetapi tidak betul-betul tiru kerana dia sendiri tidak faham dan akhirnya mengakibatkan perniagaan tidak ke depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan menyasarkan kewujudan 50,000 PKS baharu pada setiap tahun bagi tempoh lima tahun untuk menyediakan sejuta peluang pekerjaan baharu dalam negara sepanjang tempoh itu. — Bernama

Advertisement