Anda di sini

Kadar kemiskinan menurun

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kadar kemiskinan Negeri Sabah telah menurun daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada 8.1 peratus pada 2012, seterusnya 4.0 peratus pada 2014 dan 2.9 peratus pada 2016.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, angka-angka itu adalah hasil daripada Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dilaksana Jabatan Perangkaan Malaysia pada kekerapan dua kali bagi tempoh setiap lima tahun yang merangkumi keseluruhan daerah di Sabah.

"Bagi tahun ini, kita masih menunggu Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia," katanya menjawab soalan Matbali Musa (Umno-Lumadan).

Berkenaan program baharu yang diilhamkan Kerajaan baharu Sabah setakat ini, beliau berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan satu program berkaitan aktiviti pelancongan desa dalam skala kecil di kampung terpilih, bukan sahaja untuk menjana pendapatan peserta dan meningkatkan taraf hidup mereka, malah kampung berkenaan juga akan menikmati pembangunan infrastruktur asas yang lebih teratur.

"Sepertimana dalam ucapan penggulungan saya pada Rabu, KPLB sedang dalam proses pemuktamadan program ini sebelum dilancarkan secara rasmi kelak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah," jelasnya.

Dalam masa yang sama katanya, Kerajaan Sabah juga memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama kepada setiap kementerian untuk dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Katanya, Ketua Menteri dijangka akan melancarkan pendekatan baharu Bidang Keberhasilan Utama Kerajaan Sabah itu pada bulan depan.

Ewon berkata, sejak menerajui KPLB dan selepas meninjau program-program sedia ada di bawah kementerian itu seperti Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) dan Program Kampung Sejahtera (PKS), pihaknya mengambil pendekatan untuk memperbaiki program-program sedia ada itu terutama dari segi penciptaan pendapatan kepada para peserta supaya tidak hanya bergantung kepada satu punca pendapatan semata-mata.

EWON (kanan) di persidangan hari terakhir DUN Sabah pada Khamis.
EWON (kanan) di persidangan hari terakhir DUN Sabah pada Khamis.

"Justeru, melalui Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (PAET) di perkampungan Mesej dan PKS ini kelak, kita berharap dapat menambahkan pendapatan kepada para peserta," katanya.

Selain itu, kementeriannya juga bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah untuk memperbaiki, mengemaskini dan mendigitalkan profail daerah dan profail kampung di seluruh Sabah supaya dapat diuruskan dalam satu sistem maklumat yang lebih komprehensif dan bersepadu.

Dengan adanya sistem itu kelak katanya, akan memudahkan bukan hanya KPLB, tetapi juga kementerian lain untuk membuat perancangan dan program baharu berkaitan pembangunan luar bandar.

Ewon berkata, KPLB Sabah dan Persekutuan telahpun menubuhkan Jawatankuasa Kerja serta Jawatankuasa Tertinggi Perancangan dan Pemantauan Projek KPLB Sabah yang antara lainnya akan memuktamadkan program-program yang akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan.

Katanya, melalui usaha bersepadu Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan serta peningkatan infrastruktur asas luar bandar, wawasan kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup di luar bandar dan seterusnya membasmi kemiskinan di Sabah ke paras di bawah 1.0 peratus pada penghujung tahun 2020 atau menjelang bermulanya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) akan tercapai.

Menjawab soalan tambahan Matbali, Ewon berkata masalah ketirisan dan birokrasi merupakan antara puncanya, tetapi beliau juga menyentuh mengenai kecenderungan sebahagian besar daripada rakyat yang mahu dimasukkan dalam senarai e-Kasih semata-mata kerana banyak program bantuan bagi mereka yang tersenarai dalam e-Kasih.     

"Malah, ada juga yang mahu nama mereka terus kekal dalam senarai e-Kasih walaupun sudah menerima program bantuan sebelumnya kerana mengharapkan program-program bantuan yang seterusnya," katanya.

Katanya, KPLB Sabah akan memperbaiki program pembasmian kemiskinan di bawah KPLB supaya ia betul-betul dilaksanakan kepada kumpulan sasar dan Pogram Turun Padang KPLB yang diketuainya sendiri akan kerap diadakan untuk memantau pelaksanaan program berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk James Ratib (Upko-Sugut), Ewon berkata program aktiviti ekonomi tambahan merupakan program jangka pendek yang akan diperkasakan bermula daripada perkampungan Mesej dan PKS bagi membolehkan para peserta dan penduduk kampung yang terlibat melalui penternakan dan penanaman pertanian jangka pendek yang sesuai dengan potensi kampung itu.

Beliau juga memaklumkan keputusan Kabinet Sabah yang bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi Negeri mengetuai satu penyiasatan semula insiden kemiskinan tegar di Sabah bersama-sama agensi lain seperti Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Kementerian saya atau Jabatan Ketua Menteri akan membentangkan dapatan penyiasatan setelah siap nanti," katanya.

Menjawab pertanyaan tambahan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan (Star-Tambunan), Ewon berkata kementeriannya mengambil pendekatan bermula dengan penyediaan sebuah sistem maklumat profail daerah serta kampung yang komprehensif dan bersepadu di KPLB Sabah dengan kerjasama UPEN.

"Ini kerana, selepas saya diberi amanah menerajui KPLB Sabah, tidak ada data-data komprehensif mengenai profail daerah dan kampung-kampung di seluruh Sabah.

"Ketiadaan sistem maklumat ini sudah tentunya melambatkan atau merencatkan apa sahaja pelaksanaan perancangan pembangunan, termasuklah berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan," katanya.

Katanya, pengalaman pertamanya semasa menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri dan Exco-Exco Pembangunan Luar Bandar se-Malaysia beberapa bulan lepas di mana beliau terpaksa meminta data-data berkaitan daripada pejabat-pejabat daerah kerana ketiadaan sistem maklumat berkenaan.

"Justeru, saya menyatakan profail daerah dan kampung berkenaan merangkumi potensi ekonomi dan kebolehgunaan tanah supaya kementerian dan pihak kerajaan boleh merancang mekanisme membantu pembangunan ekonomi luar bandar termasuk menyediakan pembolehdaya yang lebih baik seperti kemudahan asas infrastruktur," katanya.

Advertisement