Anda di sini

Hamas umum gencatan senjata dengan Israel

Advertisement
 Gambar yang dirakam pada 12 November lepas menunjukkan bebola api di atas bangunan yang menempatkan                 stesen televisyen kendalian Hamas, Al-Aqsa TV, di Semenanjung Gaza sewaktu serangan udara Israel. — Gambar AFP
BEBOLA API: Gambar yang dirakam pada 12 November lepas menunjukkan bebola api di atas bangunan yang menempatkan stesen televisyen kendalian Hamas, Al-Aqsa TV, di Semenanjung Gaza sewaktu serangan udara Israel. — Gambar AFP

KOTA GAZA: Puak-puak militan Palestin di Semenanjung Gaza mengumumkan gencatan senjata tajaan Mesir dengan Israel selepas keganasan yang meruncing mengancam untuk bertukar menjadi perang besar-besaran.

Puak-puak tersebut, termasuk Hamas, menyebut dalam satu kenyataan kelmarin bahawa mereka mematuhi gencatan senjata itu selagi Israel melakukan perkara yang sama.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan tenteranya belum lagi meng-ulas mengenai pengumuman itu.

Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman berkata beliau tidak menyokong usaha untuk memberhentikan serangan.

Keganasan itu, yang me-nyaksikan tujuh penduduk Gaza terkorban dalam masa 24 jam apabila serangan bom udara oleh Israel meratakan bangunan dan melontar bebola api dan kepulan asap ke udara, merupakan yang terburuk antara Israel dengan puak militan Palestin sejak peperangan pada 2014.

Penggera berbunyi di se-latan Israel manakala puluhan ribu mencari perlindungan apabila kira-kira 460 roket dan bom mortar dilepaskan dari Gaza, dan mencederakan 27 orang, termasuk tiga yang cedera parah.

Seorang pekerja buruh Pa-lestin dari Tebing Barat maut apabila roket terkena sebuah bangunan di kota Ashkelon, Israel.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat kelmarin, Mesir menyeru kepada Israel untuk menghentikan “tindakan ketenteraan” di Gaza.

“Usaha Mesir telah berjaya mencapai gencatan senjata antara puak penentang de-ngan musuh Zionis,” kata puak-puak Gaza terbabit.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tertutup lewat kelmarin untuk membincangkan keganasan tersebut atas permintaan Kuwait dan Bolivia.

Bagaimanapun diplomat berkata mereka gagal mencapai persetujuan tentang cara untuk menangani krisis itu.

Satu sumber diplomatik berkata sebelum mesyuarat PBB bahawa “situasi itu masih sangat berbahaya dan boleh meletup sekali lagi”.

Keganasan terbaharu bermula Ahad lepas ekoran kegagalan operasi pasukan khas Israel di Semenanjung Gaza yang menumpahkan darah dan mendorong Hamas untuk menjanjikan pembalasan.

Pertelingkahan yang dicetuskan oleh operasi sulit yang gagal itu mengorbankan tujuh anggota militan Palestin, termasuk seorang komander tentera tempatan Hamas, selain seorang pegawai tentera Israel.

Puak militan Palestin membalas dengan serangan roket dan bom mortar, selain misil antikereta kebal yang terkena sebuah bas yang menurut Hamas digunakan oleh askar Israel. Seorang askar cedera parah dalam serangan itu.

Sekolah ditutup di Gaza dan selatan Israel kelmarin selepas kedua-dua pihak memberi amaran kepada satu sama lain bahawa mereka akan membalas dengan kekerasan sebarang keganasan selanjutnya.

Mesir telah membincangkan gencatan senjata ekoran keganasan pada masa lalu manakala utusan PBB ke Timur Tengah, Nickolay Mladenov, turut menuntut gencatan senjata jangka panjang sejak beberapa minggu lepas.

Utusan Israel ke PBB Danny Danon berkata “kami tidak akan menerima seruan bagi kedua-dua pihak untuk menunjukkan kesabaran”.

Selepas mesyuarat kabinet keselamatan Israel yang dilaporkan memakan masa kira-kira enam jam kelmarin, satu kenyataan dikeluarkan bahawa jemaah menteri “mengarakan tentera untuk meneruskan operasi yang perlu”.

Pertahanan misil memintas lebih 100 roket dari Gaza dan kebanyakan roket lain terjatuh dalam kawasan terbuka, tetapi ada yang terkena rumah dan struktur awam lain.

Israel membalas dengan serangan udara besar-besaran, termasuk ke atas stesen TV Al-Aqsa milik Hamas dan ibu pejabat keselamatan dalam negeri di Kota Gaza.

Pihak tentera berkata ia menyerang kira-kira 160 sa-saran di wilayah tersebut.

“Apa yang berlaku adalah umpama gempa bumi,” kata Abu Ayman Lemzeni, yang tinggal dekat bangunan TV yang diserang.

Sekurang-kurangnya lima orang yang maut di Gaza dilaporkan sebagai anggota pelbagai puak militan. Kira-kira 26 orang lagi cedera dalam wilayah Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Keganasan itu berlaku walaupun Netanyahu telah membuat keputusan untuk membenarkan Qatar memindahkan jutaan dolar dalam bantuan kepada Gaza bagi gaji selain bahan bakar untuk menangani kekurangan tenaga elektrik.

Persetujuan itu meredakan protes di sepanjang sempadan Gaza selepas pergolakan berdarah selama berbulan-bulan.

Operasi pasukan khas pada Ahad lepas dan pertelingkahan yang berlaku menjejas-kan usaha tersebut, yang menimbulkan persoalan tentang masa bagi operasi sulit oleh Israel itu.

Israel berkata ia adalah operasi untuk mengumpul maklumat perisikan dan usaha tersebut mesti diterus-kan untuk mempertahankan negara. — AFP

Advertisement