Anda di sini

Hazard seronok dengan kehidupan di Chelsea

Advertisement
HAZARD
HAZARD

LONDON: Eden Hazard mungkin merasai kesan daripada jadual yang meletihkan tetapi pemain tengah Belgium itu menegaskan dia masih seronok dengan kehidupan di Chelsea.

Hazard, 27, menjadi bintang ketika Belgium menduduki tempat ketiga yang mengagumkan di Piala Dunia pada tahun ini di Rusia dan kemudian memainkan peranannya untuk membantu Chelsea memulakan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 12 perlawanan tanpa kalah dan tujuh gol.

Hazard tidak bermain dalam tiga perlawanan akibat kecederaan belakang tetapi bermain 90 minit buat pertama kali sejak 20 Oktober lalu dalam perlawanan tanpa jaringan yang kasar dengan Everton pada Ahad lepas.

Dengan melanjutkan permulaan tanpa kalah mereka pada musim ini, pasukan The Blues menduduki tempat ketiga - empat mata di belakang pendahulu Manchester City dan dua mata di belakang Liverpool di tempat kedua sebelum waktu rehat antarabangsa bermula.

“Percayalah, saya letih,” kata Hazard kepda radio talkSPORT kelmarin. “Namun saya rasa saya dalam keadaan yang baik untuk bermain.

“Pada tahun lepas, saya mengalami kecederaan pada buku lali saya selama tiga bulan. Itulah sebabnya kenapa saya segar sekarang.

“Dan apabila kita gembira di atas padang, kita dapat mencuba beberapa perkara. Saya berseronok sekali,” ujarnya, dan Chelsea akan menyambung semula kempen mereka dalam liga menentang musuh tetangga di London, Tottenham Hotspur, di Wembley pada 24 November.

Kontrak Hazard tamat pada Jun 2020 dan spekulasi sudah lama dibuat mengenai sama ada dia akan menandatangani kontrak baharu untuk mengekalkannya di Stamford Bridge atau meneruskan perpindahan “impian” ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Bagi tempoh tujuh tahun terakhir bersama Chelsea, saya sentiasa seronok,” kata Hazard, yang tiba dari kelab Lille di Perancis.

“Apabila saya berada di atas padang, saya cuba memberikan kegembiraan, mula-mula kepada saya dan kemudian kepada penyokong yang menonton perlawanan.
“Buat masa sekarang, kami bermain dengan baik dan itulah sebabnya kenapa saya bermain dengan baik. Jadi saya gembira untuk bermain buat masa sekarang.” — AFP

Advertisement