Anda di sini

Cukai baharu akan dilaksana 3 hingga 5 tahun lagi: Deloitte

Advertisement

PETALING JAYA: Cukai baharu ditambah dengan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi, kata Pengarah Eksekutif -Cukai Perniagaan Deloitte Malaysia, Chia Swee Hoe.

Chia berkata enam peratus SST juga dijangka dinaikkan dalam tempoh yang sama untuk menampung kekurangan perolehan kerajaan lebih RM20 bilion selepas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Ketika ini, hanya 38 peratus di bawah Indeks Harga Pengguna (IHP) kini di bawah SST berbanding 60 peratus di bawah GST. Saya percaya ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa, selaras dengan kenaikan gaji,” katanya pada Komentar Belanjawan 2019 Persatuan Pembangunan Hartanah dan Perumahan (REHDA) di sini, semalam.

Chia juga berkata cukai baharu itu akan lebih menumpukan pada penggunaan, tetapi menambah kerajaan perlu mengkaji peningkatan kos hidup sebelum melaksanakan sebarang cukai baharu.

“Di masa depan, kerajaan mungkin mengubah suai dan menjenamakan semula SST kepada sistem cukai lebih berstruktur,” katanya.

Dalam Belanjawan 2019 dibentangkan pada 2 Nov, kerajaan mengumumkan akan mengenakan cukai eksais 40 sen seliter bagi minuman bergula bermula 1 April 2019, manakala cukai digital akan dilaksanakan dari 1 Jan, 2020.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata prestasi ringgit masih berdaya tahan berbanding mata wang lain seperti rupee India dan rupiah Indonesia.

“Penyusutan ringgit ketika ini adalah disebabkan faktor luaran seperti perang perdagangan, harga minyak dan pengukuhan dolar AS. Faktor ini adalah sesuatu yang kita tidak dapat kawal,” katanya.

Beliau menambah asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan ekonomi domestik masih berdaya tahan, membantu meningkatkan ringgit menjelang akhir tahun.

“Ringgit kini di bawah nilai dan kita berharap ia dapat mencapai  4.10 menjelang akhir tahun,” katanya.

Ringgit kini pada 4.1940/1970 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1900 semasa ditutup semalam manakala Minyak Mentah Brent pada AS$69.38 setong. — Bernama

Advertisement