Anda di sini

Nilai dagangan Sarawak-China meningkat 

Advertisement
 

KUCHING: Jumlah dagangan antara Sarawak dengan China sehingga September tahun ini adalah bernilai RM12.6 bilion iaitu peningkatan 10.4 peratus berbanding tahun lalu dalam tempoh sama. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Dato Sri Wong Soon Koh (gambar) optimistik trend peningkatan akan dapat dikekalkan dalam tempoh jangka panjang dengan wujudnya perniagaan berterusan dan hubungan baik antara kedua belah pihak. 

"Saya ingin memaklumkan Dewan bahawa strategi kita untuk mewujudkan hubungan perdagangan dengan China adalah langkah positif kerana China merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat," katanya.

Dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, Wong berkata penganjuran Forum Perniagaan Sarawak-China menjadi landasan perniagaan untuk peserta meningkatkan pemahaman dalam melakukan perdagangan antara kedua buah negara. 

Forum itu menarik penyertaan lebih 500 usahawan dari Sarawak dan China khasnya untuk mereka yang berminat dalam perdagangan merentasi sempadan.

"Forum ini akan mengukuhkan kerjasama Sarawak dan China dalam pelbagai bidang khasnya pertanian, pelancongan, kesihatan, pendidikan, infrastruktur, perdagangan dan e-dagang," jelasnya.

Forum selama dua hari bermula 6 Ogos lalu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Ia merupakan inisiatif Kementerian dan Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching untuk mempromosikan perdagangan antara Sarawak dan China.

  • oleh
  • Advertisement