Anda di sini

Jangan ada pelampau agama: Shafie

Advertisement
PARA penerima merakamkan kenangan bersama Shafie (tengah dan tetamu kehormat lain sempena majlis itu pada Selasa.
PARA penerima merakamkan kenangan bersama Shafie (tengah) dan tetamu kehormat lain sempena majlis itu.

KOTA KINABALU: Jangan ada golongan pelampau (ekstremis) dalam apa juga agama yang dianuti di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kewujudan golongan berkenaan boleh memusnahkan perpaduan dalam masyarakat.

Katanya, usaha untuk mengelakkan kewujudan golongan pelampau penting dalam membina satu tamadun.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan supaya rakyat dapat disatupadukan walau menganut pelbagai agama.

"Kita juga tahu salah satu komponan yang boleh memecahkan perpaduan adalah sikap perkauman.

"Jangan ada antara kita yang melakukan perkara berunsurkan perkauman kerana kita ada hak yang sama di negeri ini tidak kira apa agama dan kaum.

"Inilah perubahan yang perlu kita lakukan dalam pentadbiran negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah kepada Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam 2018 di sini hari ini.

Shafie berkata, usaha memupuk perpaduan rakyat membolehkan kerajaan menyediakan landasan untuk anak-anak generasi akan datang supaya dapat bersatu padu dalam kerjasama yang erat.

Dalam pada itu, beliau turut sedar sekolah dan badan-badan agama perlu dibantu agar nilai-nilai murni dalam masyarakat dapat diterapkan.

Selain itu, pihaknya berharap bantuan berkenaan dapat mengurangkan bebanan setiap penerima sekaligus melancarkan setiap perancangan yang ditetapkan.

"Pendidikan adalah sektor utama yang memerlukan pelaburan besar bukan hanya pada kewangan malah nilai yang dihasilkan.

"Sebanyak 554 buah sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah menerima bantuan kewangan ini.

"Ia termasuklah 279 badan keagamaan dan 275 sekolah seperti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Mubaligh, dan tadika," jelasnya.

Shafie berkata, kerajaan turut bersetuju dan meluluskan sebanyak RM34.64 juta kepada pembangunan dan pembaikan sekolah dan badan keagamaan berkenaan.

Jumlah itu katanya menunjukkan pertambahan sebanyak RM3.208 juta berbanding RM31.44 juta pada 2017.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk bantuan sekolah-sekolah pada 2019 iaitu tambahan sebanyak RM3 juta.

  • oleh
  • Advertisement