Anda di sini

Perbaiki kualiti pendidikan, khidmat kesihatan

Advertisement
SHAFIE membincangkan sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
SHAFIE membincangkan sesuatu dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

KOTA KINBALAU: Tujuan utama pewujudan Kementerian Pelajaran dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat adalah untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan di negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, pendidikan dan kesihatan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

"Walaupun demikian, Kerajaan Negeri mengemukakan suatu usul kepada Kerajaan Persekutuan untuk diperturunkan kuasa pentadbiran dan pemantauan serta pengagihan tugas di peringkat negeri Sabah. Dan yang utama, konsultasi adalah penting untuk penyelarasan dan melicinkan pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan serentak Datuk Limus Jury (Upko Kuala Penyu), Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli), Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan (Star-Tambunan), Datuk Bolkiah Haji Ismail (Warisan-Pitas) dan Datuk Japlin Akim (Umno-Usukan) pada hari kedua Persidangan DUN Sabah hari ini (Isnin).

Shafie berkata Kerajaan Negeri juga akan memastikan fungsi agensi-agensi Persekutuan dan agensi Negeri hendaklah tidak bertindih.

"Misalnya, fungsi JKR Persekutuan dan JKR Negeri, dan pelancongan," katanya.

Beliau berlata, Kerajaan Negeri menyedari bahawa terdapat pertindihan peranan dan fungsi di beberapa agensi Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan.  

"Kerajaan Negeri juga telah dan masih berusaha untuk menangani perkara ini agar pengurusan dan pembangunan sumber manusia dalam perkhidmatan awam negeri akan lebih efisyen, efektif dan sistematik," katanya. 

Oleh itu katanya, adalah menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri agar penurunan kuasa-kuasa Persekutuan dapat direalisasikan menerusi penyerahan tanggungjawab dan autonomi kepada Kerajaan Negeri. 

"Tujuannya ialah untuk mengurangkan karenah birokrasi, mempercepatkan proses membuat keputusan, mengurangkan kos dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Shafie berkata, beberapa siri perbincangan telah dibuat oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengenai cadangan penurunan kuasa-kuasa Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dalam menguruskan dan pembangunan sumber manusia seperti berikut.

Ketua Agensi Negeri diberi kuasa untuk mengawal sumber seperti peruntukan kewangan, sumber manusia, kelulusan perolehan dan urusan pentadbiran agensi Persekutuan di negeri Sabah (contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Melantik pegawai yang berasal dari negeri Sabah dan ditempatkan di agensi Persekutuan di Sabah.

Mengoptimumkan penggunaan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Negeri sedia ada untuk menyelaras projek Kerajaan Persekutuan di Negeri Sabah.

Meningkatkan peratusan pelantikan Ketua Jabatan agensi Persekutuan di peringkat negeri Sabah yang terdiri daripada anak-anak tempatan yang berasal dari negeri Sabah kepada 90 peratus dan memberi kuasa untuk membuat keputusan yang bersesuaian kepada semua agensi kerajaan persekutuan di peringkat negeri Sabah.

  • oleh
  • Advertisement