Anda di sini

Kekecohan pemilihan PKR sebab pertambaan anggota parti - Dr Wan Azizah 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) tidak menolak kemungkinan kekecohan yang tercetus di pusat pemilihan PKR cabang Julau di Sarawak baru-baru ini disebabkan pertambahan besar anggota parti itu.

Beliau berkata berikutan jumlah anggota yang terus berkembang, proses pemilihan PKR di peringkat cabang itu menjadi semakin susah untuk dikendalikan. 

“Parti kita dah berkembang, dulu anggota sikit sahaja maka masalah pun sikit sahaja, kini kita berkembang dengan ramai jadi banyak masalah dan kita juga tak boleh nafikan mungkin ada penyusup datang merosakkan parti,” katanya selepas majlis penutup Hari Puteri Peringkat Kebangsaan, Pergerakan Puteri Islam Malaysia di Kompleks Darul Puteri, di Cheras. 

Berikutan kejadian itu, Dr Wan Azizah mahu Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menyiasat perkara itu secara berkecuali bagi mencari penyelesaian menyeluruh. 

Wan Azizah mengulas mengenai keputusan pemilihan PKR bagi Cabang Julau, semalam yang digantung serta-merta selepas pihak JPP mengesan serangan siber pada 10 unit tablet yang digunakan untuk mengendalikan e-undi.

Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din berkata dilaporkan berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada pencerobohan perisian Prey Anti-Theft, justeru laporan berhubung serangan terbabit dihantar bagi mendapatkan maklumat balas pasukan keselamatan siber JPP di Petaling Jaya.

Sementara itu ditanya mengenai kematian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan di Bandar Baru Bangi, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap pesalah  yang terlibat akan dikenakan hukuman berat. 

Beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka kepada pengasuh yang berdaftar bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang lagi. 

“Walaupun dia (suami pengasuh) diuji positif dadah namun ini adalah jenayah kejam. Sesuatu yang tak boleh diterima, adakah sifat kemanusiaan kita telah lebur,” katanya mengulas kejadian bayi tersebut yang meninggal dunia semalam, selepas dua hari kritikal akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan suami kepada pengasuh.

Mengenai kejadian 29 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan pertubuhan kebajikan anak yatim di Temerloh, dipercayai dicabul dan didera, Wan Azizah berkata kesemua mereka telah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM).

Beliau berkata selepas kesemua mereka dibawa menjalani pemeriksaan di hospital, 27 telah kembali kepada keluarga dan waris masing-masing, manakala dua lagi yang tidak mempunyai waris masih dalam penjagaan JKM. - Bernama
 

Advertisement