Anda di sini

Henry masih gagal raih sebarang kemenangan

Advertisement
HENRY
HENRY

PARIS: Tanpa kemenangan dalam 15 perlawanan dan selepas mengalami kekalahan besar kelab di stadium sendiri pada peringkat Eropah, ia mungkin akan bertambah buruk bagi Thierry Henry dan Monaco pada hujung minggu ini dengan kunjungan pendahulu Ligue 1 Paris Saint-Germain (PSG).

Harapan Monaco yang malap dalam Liga Juara-Juara padam sama sekali dengan kekalahan 4-0 “yang memalukan” kepada Club Brugge pada pertengahan minggu, dan ini bermakna Henry masih memburu kemenangan pertamanya selaku pengurus sejak dia mengambil alih tugas daripada Leonardo Jardim.

Taruhan sama sekali tidak memihak kepada pasukannya yang lemah akibat kecederaan untuk menamatkan penantian itu esok (Ahad).

Monaco tewas dalam tujuh perlawanan terakhir mereka menentang PSG - termasuk kekalahan besar 7-1 dalam perlawanan liga terakhir pada April lalu.

Sementara itu PSG mencatatkan permulaan yang memecah rekod dengan 12 kemenangan berturut-turut, permulaan terbaik dalam sejarah bagi lima liga terbesar di Eropah - Sepanyol, England, Itali, Jerman dan Perancis.

“Kami perlu berusaha untuk kembali ke landasan yang betul. Saya harap kami akan menjumpai penyelesaian untuk menghalang Paris,” kata Paris, tetapi mengakui “perkara terburuk boleh berlaku”.

“Kami cuba melakukan segalanya untuk mendapatkan semula rasa tenang tetapi jika kita tidak menang, ia adalah sukar,” ujarnya.

Henry menerima sokongan pengurus Perancis dan bekas rakan sepasukan Didier Deschamps, yang menjadi jurulatih Monaco ketika mereka mara ke peringkat akhir Liga Juara-Juara 2004, yang percaya pengurus berusia 41 tahun itu dapat mencapai kecemerlangan dalam pengurusan.

Dengan PSG yang sudah mendahului 11 mata di hadapan, Montpellier berharap untuk meneruskan kejayaan mereka yang mengejutkan sebagai pasukan terbaik antara pasukan-pasukan lain dalam perlawanan menentang Angers di tempat lawan pada malam ini (Sabtu).

“Kami perlu meneruskan semangat yang kami tunjukkan sejak awal musim, tetapi dalam bola sepak segalanya rapuh dan dapat berubah. Kami tidak boleh terbawa-bawa,” kata jurulatih Michel Der Zakarian.

Lille, yang sama mata dengan Montpellier di tempat ketiga, sudah membawa masuk Nicolas Anelka sebagai seorang jurulatih akademi untuk melatih penyerang perantis di kelab itu.

Lyon di tempat keempat bertandang ke Guingamp, satu-satunya kelab di bawah Monaco di bahagian bawah liga.

Guingamp bakal melantik semula Jocelyn Gourvennec, lelaki yang membimbing mereka untuk memenangi kejuaraan Piala Perancis pada 2014, dengan kontrak selama dua tahun pada minggu akan datang. — AFP

Advertisement