Anda di sini

Bakat baharu perlu berkualiti, punya identiti sendiri

Advertisement
ISMAILY ketika menyampaikan sajak dengan penuh perasaan.
ISMAILY ketika menyampaikan sajak dengan penuh perasaan.

TIDAK sedar waktu beranjak mendekati tengah malam kerana leka menikmati hiburan yang berterusan dipersembahkan artis-artis lagenda pada Majlis Jalinan Mesra Penggiat Seni Sabah,  Jumaat malam.

Ternyata idea Pengerusi Penganjur, Sadian Sadio terlaksana jua untuk menghimpunkan seluruh penggiat seni di Sabah dalam satu majlis yang gah untuk julung kalinya.

Kehadiran 500 tetamu merangkumi artis lama dan baharu, datang bersama harapan yang besar agar industri seni di Sabah semakin gemilang dengan penyatuan yang termeterai pada malam itu.

PENYERAHAN Bingkisan Suara Hati Penggiat Seni kepada Assafal (kiri) sambil disaksikan oleh Sadian (tengah).
PENYERAHAN Bingkisan Suara Hati Penggiat Seni kepada Assafal (kiri) sambil disaksikan oleh Sadian (tengah).

Penyanyi yang juga anak jati Sabah, Azharina Azhar setuju agar penganjuran seumpamanya diadakan setiap tahun untuk memperkenalkan artis-artis lama kepada artis-artis yang baharu.

"Tanpa yang lama, tidak mungkin akan ada yang baharu, mereka semua ini adalah perintis kepada industri seni di negeri Sabah tidak kira daripada cabang nyanyian, teater, tarian dan pelbagai lagi cabang seni yang lain.

"Sudah tentu sebagai orang seni dan anak jati negeri Sabah ini, saya hargai dengan penganjuran malam ini, untuk kami berkenalan dan berhimpun bersama.

"Seperti saya, saya membesar dengan artis lama, pendedahan daripada allahyarham datuk saya, Datuk Hj M.Y. Ibrahim, jadi bila kita dapat peluang bertemu mereka yang memberi inspirasi kepada kita, sudah tentu saya rasa gembira,"ujarnya.

Menurut Azharina, kini dapat dilihat kebanyakan artis yang memonopoli dan memenangi pertandingan nyanyian yang besar ataupun lakonan adalah daripada Sabah.

Berbeza dengan dirinya yang menceburkan diri dalam industri seni pada 18 tahun lalu perlu menggunakan satu kuota yang ditetapkan mewakili Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Tapi sekarang sudah tiada kuota, dan situasi ini seharusnya dapat melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baharu yang selalu diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh.

"Tetapi mencari yang berkualiti dan mempunyai identiti yang tersendiri itu memang susah, dan saya sendiri melihat ramai artis Sabah yang kurang keyakinan dan tidak dapat mencari identiti vokal sebenar tidak dapat bertahan dan terpaksa kembali ke Sabah.

"Pendapat saya, dalam industri seni ini,  jangan memandang kepada satu perkara sahaja, contohnya penyanyi sekarang ramai tidak tahu ilmu tentang muzik, pada zaman saya dahulu kami perlu belajar mengenal nota, perlu belajar penampilan di pentas, perlu masuk ke kelas vokal dan saya sekarang pun masih belajar dalam kelas vokal,"luahnya.

AMPAL menerima Anugerah Mr. Personality.
AMPAL menerima Anugerah Mr. Personality.

Justeru, Azharina yang menerima Anugerah Miss Personality pada malam itu berkata, untuk menjadi seorang penyanyi perlulah mempunyai pengetahuan yang luas, dan setiap hari yang dilalui sebenarnya adalah satu proses pembelajaran.

"Kebanyakan penyanyi sekarang walaupun bukan keseluruhan, hanya mengejar faktor viral dan populariti, tapi harus faham, sebagaimana singkat tempoh anda naik, sesingkat itu juga anda akan jatuh.

"Saya harap pada masa hadapan kita akan dapat membesarkan lagi industri seni di Sabah dan pada masa yang sama melahirkan lebih banyak artis-artis dan anak seni yang berkualiti dan mampu bertanding sehingga ke peringkat dunia, bukan sekadar sertai satu atau dua pertandingan sahaja, tetapi konsisten bertahan dalam industri,"kata Azharina.

Majlis Malam Jalinan Mesra Reunion Penggiat Seni Negeri Sabah yang diadakan di Pacific Sutera disempurnakan perasmiannya oleh Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Assafal P. Alian.

Menurut Assafal, setiap pencapaian dan kejayaan dalam mana-mana cabang seni perlu diberi penghargaan sewajarnya.

PELUKIS yang turut hadir pada malam tersebut.
PELUKIS yang turut hadir pada malam tersebut.

"Ada baiknya supaya program dalam bentuk penyampaian Anugerah Seni Peringkat Negeri Sabah dipertimbangkan sebagai salah satu aktiviti pada masa akan datang.

"Ini adalah untuk menjadi wacana penghargaan dan pengiktirafan ke atas pencapaian-pencapaian cemerlang dalam bidang karya seni oleh pengkarya seni.

"Aktiviti ini boleh meningkatkan motivasi dalam kalangan para pengkarya seni menerusi persaingan yang sihat,"katanya.

Assafal turut menyatakan sokongan kepada program-program berunsurkan kesenian sebagai salah satu kaedah atau cara untuk mengangkat martabat seni di negeri ini.

"Jika tiada penggiat seni maka apakah kesenian yang dapat kita wariskan atau turunkan kepada generasi muda etnik kita?

SEGMEN tarian dan teater dari penggiat seni era 70-an hingga 90-an.
SEGMEN tarian dan teater dari penggiat seni era 70-an hingga 90-an.

"Kita sedia maklum bahawa banyak aspek seni pupus ditelan zaman dimamah usia kerana tidak ada atau kurangnya usaha untuk mempertahankan seni itu, tentunya inilah cabaran bagi kita dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya,"kata Assafal.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS Mariam Omar, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) Ismaily Bongsu, Pengurus Besar LKNS William Baya, dan Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Suzaini Sabdin Ghani.

  • oleh
  • Advertisement