Anda di sini

Arsenal lanjutkan siri tanpa kalah kepada 15 perlawanan

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Arsenal dan Sporting di Stadium Emirates, di London. — Gambar AFP
PENUH AKSI: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Arsenal dan Sporting di Stadium Emirates, di London. — Gambar AFP

PARIS: Arsenal menempah tempat pada peringkat kalah mati dalam Liga Europa dan melanjutkan siri tanpa kalah mereka kepada 15 perlawanan walaupun seri 0-0 dengan Sporting Lisbon kelmarin, manakala gol pertama Olivier Giroud pada musim ini membantu Chelsea mara.

Namun penyerang Arsenal, Danny Welbeck, yang yang jarang sekali diberikan peluang untuk memulakan perlawanan selepas dipilih untuk menyertai skuad England bimbingan Gareth Southgate, terpaksa diusung ke dalam terowong dengan kecederaan buku lali yang serius pada separuh masa pertama.

Dua pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi dan Aaron Ramsey, kelihatan resah selepas Welbeck, yang akan tamat kontrak pada hujung kempen semasa, terjatuh selepas dia melompat untuk memenangi tandukan.

“Ia adalah mencabar dari segi mental (untuk bermain selepas rakan sepasukan cedera) tetapi kadang-kadang ia berlaku dalam sukan ini, dan Danny kerap mengalami kecederaan,” kata pemain sayap Alex Iwobi kepada BT Sport.

The Gunners bimbingan Unai Emery bermain lebih baik bagi jangka waktu yang lama di Emirates dalam perlawanan menentang sebuah pasukan yang sudah pun mempunyai tiga pengurus yang berlainan pada musim ini, tetapi terpaksa berpuas hati dengan satu mata walaupun Sporting bermain dengan 10 pemain pada hujung perlawanan apabila bekas pemain pertahanan tengah Barcelona, Jeremy Mathieu, dibuang dari padang.

Namun demikian Arsenal berjaya juga mara ke peringkat 32 terakhir manakala Vorskla Poltava tewas 1-0 di halaman sendiri kepada kelab Azeri, Qarabag, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E.

Chelsea menjadikannya empat kemenangan daripada empat perlawanan dalam Kumpulan L dengan menewaskan pasukan bersemangat BATE Borisov 1-0 di Belarus.

Giroud menamatkan kemarau gol dalam 11 perlawanan pada musim ini dengan meletakkan Chelsea di hadapan pada minit ke-53, dan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bertahan walaupun cubaan BATE terkena palang gol sebanyak tiga kali dalam perlawanan tersebut.

“Saya berharap untuk menjaringkan gol tidak lama lagi kerana saya kembali lewat dari Piala Dunia dan itulah apa yang berlaku pada malam ini,” kata Giroud, penyerang Perancis, kepada BT Sport.

Kelab London itu naik enam mata di hadapan Vidi dari Hungary di tempat teratas kumpulan dan tidak tewas dalam 17 perlawanan sejak mereka kalah dalam perlawanan Community Shield kepada Manchester City pada Ogos lalu.

Rangers bimbingan Steven Gerrard menyaksikan siri tanpa kalah mereka dalam 11 perlawanan berturut-turut dalam Liga Europa pada tahun ini berakhir secara dramatik apabila mereka mensia-siakan pendahuluan sebanyak tiga kali dalam kekalahan 4-3 di Spartak Moscow.

Kedua-dua pasukan menyaksikan gol sendiri yang lawak dalam separuh masa pertama yang gila dan berakhir dengan Glenn Middleton yang meletakkan kelab dari Scotland itu 3-2 di hadapan, tetapi Luiz Adriano dan Sofiane Hanni menjaringkan gol selang 17 saat untuk merampas kemenangan bagi Spartak.

Rangers kini sama mata dengan Spartak dalam Kumpulan G yang amat sengit, satu mata di belakang pendahulu Villarreal selepas kelab Sepanyol itu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Rapid Vienna di Austria.

“Bagi saya, bola sepak adalah mengenai peringkat dan, jika kita tidak bertahan dengan baik dan kita melakukan perkara asas dengan cukup bagus, pemain peringkat tinggi dan pasukan peringkat tinggi biasanya menghukum kita dan itulah apa yang berlaku pada malam ini,” kata Gerrard dalam laman sesawang Rangers.

Juara bertahan liga Scotland, Celtic, memberi talian hayat kepada diri mereka sendiri dalam Kumpulan B apabila jaringan Odsonne Edouard pada minit ke-79 menyaksikan mereka menewaskan RB Leipzig 2-1 dalam perlawanan yang mereka mesti menangi di Parkhead.

Salzburg, yang mara ke peringkat separuh akhir pada musim lepas, layak ke pusingan seterusnya dengan kemenangan 5-2 ke atas Rosenborg dalam satu lagi perlawanan dalam kumpulan berkenaan, di mana penyerang Jepun Takumi Minamino mencatatkan hatrik.

Dalam perlawanan lain, Eintracht Frankfurt mara ke peringkat 32 terakhir dengan kemenangan keempat mereka daripada empat perlawanan kumpulan apabila mereka menewaskan Apollon Limassol 3-2 di Cyprus, manakala Lazio menyertai mereka untuk mara dari Kumpulan H selepas jaringan daripada Marco Parolo dan Joaquin Correa menjamin kemenangan 2-1 ke atas Marseille untuk menyingkirkan naib juara pada musim lepas.

AC Milan kekal hanya satu mata sahaja di belakang pendahulu Kumpula F Real Betis selepas gol penyamaan Suso pada separuh masa kedua merampas keputusan seri 1-1 di Sepanyol. — AFP

Advertisement