Anda di sini

Tilawah al-Quran landasan perkukuh, semarakkan ukhuwah

Advertisement
 Len serta tetamu bersama pemenang tempat pertama kategori qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei malam kelmarin.
MANTAPKAN DIRI: Len serta tetamu bersama pemenang tempat pertama kategori qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei malam kelmarin.

SARIKEI: Majlis Tilawah Al-Quran merupakan satu landasan memperkukuh dan menyemarakkan ukhuwah Islamiyah dalam kalangan masyarakat.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata majlis itu bukan sekadar menentukan pemenang mewakili negeri atau lebih tinggi tetapi mesej disampaikan dan pengertiannya kepada umat Islam.

“Penghayatan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh qari dan qariah memberi inspirasi dan galakan berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi.

“Al-Quran banyak mengajak dan menyeru manusia menimba ilmu dan memartabatkan ketinggian ilmu dalam kehidupan. Dengan ilmu membentuk keperibadian dan akhlak seseorang manusia.

“Kita berharap nilai ini terus dipupuk dan ditingkatkan ke arah membina ummah bersatu, dinamik dan progresif,” katanya pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Serba Guna Kampung Seberang Sarikei, malam kelmarin.

Turut hadir Residen Bahagian Sarikei merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan-Perayaan Islam Bahagian Sarikei Mohamad Junaidi Mohidin, Timbalan Residen Bahagian Sarikei Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Sarikei Syed Harold Salleh Wan Mohammad dan Temenggung Junia Olia.

Menurut Len, penganjuran tilawah al-Quran diharap dapat mengembalikan dan meningkatkan semangat umat Islam mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

“Aspek keagamaan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan setiap individu Muslim, justeru ia perlu menjadi pegangan malah wajar ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Umat Islam harus menjadikan al-Quran sebagai landasan dalam mencapai kejayaan dalam semua bidang termasuk pendidikan.

“Golongan muda perlu menjadikan al-Quran sebagai asas membimbing mereka menjadi seorang muslim sejati,” katanya.

Seramai 12 peserta qari dan qariah menyertai tilawah itu.

Tempat pertama qari dimenangi Ahmad Mukhlis Yahya, kedua Muhammad Sabri Majelis dan ketiga Yahya Osman.

Sementara itu bagi qariah, johan milik Siti Maisara Yahya, naib johan Dayangku Nurshahira Awang Shahferi dan ketiga Maria Mohd Nayan.

Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 untuk johan, naib johan (RM750) dan tempat ketiga (RM500).

Advertisement