Anda di sini

Jaguh basikal dari sembilan negara hangatkan pentas SIMBC 2018

Advertisement
Wahap (berdiri tengah) bergambar bersama peserta SIMBC 2018 – AMS dan tetamu lain.
Abang Abdul Wahap (berdiri tengah) bergambar bersama peserta SIMBC 2018 – AMS dan tetamu lain.

KUCHING: Jaguh basikal bukit dari Kazakhstan, Kirill Kazantsev kembali untuk mempertahankan kejuaraan pada perlumbaan Siol International Mountain Bike Challlenge 2018 - Asian Mountain Bike Series (SIMBC 2018 - AMS) yang memulakan saingannya hari ini hingga esok di kaki bukit Siol, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Beliau bagaimanapun bakal disaing hebat lebih 100 pelumba lain yang datang dari seluruh Malaysia termasuk beberapa negara luar antaranya Taiwan, Jepun, Filipina, Indonesia, Thailand, Australia, Brunei dan Singapura.

Manakala penyertaan dari negeri lain ialah Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Perak dan Selangor.

Menurut Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, SIMBC telah dimasukkan dalam siri basikal bukit Asia dan perlumbaan di sini merupakan yang kelapan selepas di Filipina, Jepun, Sabah, Timor Leste dan Indonesia.

“Ini kali ke-15 kita menganjur Siol International Mountain Bike Challlenge. 

“Kita telah berjaya meletakkan Kuching dalam peta perlumbaan mountain bike antarabangsa dengan menganjurkan kejohanan ini kerana ia telah dimasukan dalam siri perlumbaan Asia.

“Untuk makluman SIMBC 2018 adalah siri tiga terakhir perlumbaan Asia di mana dua perlumbaan terakhir akan diadakan di Brunei Darussalam dan Sabah,” katanya pada sesi taklimat dan memperkenalkan pelumba di Trek Bukit Siol, DBKU hari ini.

Menurut Abang Abdul Wahap, tiga kategori akan dipertandingkan kali ini iaitu Cross Country Olympics (XCO), Individual Downhill (DH) dan Team Relay (XCR).

Katanya, kategori Team Relay akan menarik tumpuan kerana ia bagi merebut Trofi Datuk Bandar.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dijadual menyampaikan hadiah kepada pemenang esok.

Hadir sama Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak, Dato Benjamin Hasbie dan Naib Presiden Eksekutif, Perkhidmatan Korporat SEB, Aisah Eden.
 

  • oleh
  • Advertisement