Anda di sini

Pesawat ditangguh sejam gara-gara bau durian

Advertisement
Gambar hiasan / AFP

JAKARTA: Kargo buah durian yang berbau tajam menangguhkan sebuah pesawat di Indonesia selama sejam selepas penumpang membantah bau kargo itu dan enggan terbang.

Durian amat popular sekali di Asia Tenggara tetapi sangat memecah-belah. Sementara ada yang menganggapnya sebagai “raja buah-buahan”, dan menyamakan teksturnya yang berkrim dan aromanya yang kuat dengan keju biru, pengkritik menganggap baunya lebih condong ke arah kumbahan, muntah basi atau stoking basah.

Penumpang yang membeli tiket untuk penerbangan Sriwijaya Air dari wilayah Bengkulu di Sumatra ke Jakarta pada Isnin lepas mengadu kepada kakitangan selepas menghidu bau buah itu dan enggan menaiki pesawat – tidak tahan dengan kargo berbau tajam dan bimbang mengenai berat tambahan atas pesawat.

Syarikat penerbangan itu mengakui ia membawa lebih dua tan daripada kargo de-ngan bau yang dibawa angin itu tetapi menegaskan ia tidak menimbulkan bahaya kepada penerbangan, dan menambah baunya akan berkurangan apabila pesawat sudah terbang.

“Durian tidak diklasifikasikan sebagai bahan berbahaya untuk diangkut oleh pesawat,” kata pegawai Sriwijaya Air, Abdul Rahim, kepada stesen televisyen kebangsaan Kompas TV lewat kelmarin.

Dia menyalahkan cuaca yang luar biasa panas bagi bau itu.

“Kami mengambil langkah perlu seperti meletakkan daun pandan dan serbuk kopi untuk menyerap bau durian,” kata Rahim.

Kakitangan memutuskan untuk mengeluarkan buah tersebut selepas penumpang yang sudah menaiki pesawat memutuskan untuk turun semula dari pesawat yang berlepas sejam kemudian dan mendarat dengan selamat di Jakarta.

Kakitangan lapangan terbang Bengkulu berkata mereka akan meneliti semula prosedur berhubung pengangkutan durian untuk mengelak keadaan yang tidak selesa bagi penumpang pada masa depan. — AFP

Advertisement