Anda di sini

Kes warga emas rogol anak jiran disebut lanjut 10 Dis

Advertisement

MIRI: Mahkamah Sesyen menangguhkan sehingga 10 Disember depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki warga emas yang dituduh merogol dan melakukan gangguan seksual ke atas seorang anak jirannya yang berusia 11 tahun.

Sementara itu, tertuduh diperintahkan supaya dibebas dengan jaminan lanjut RM3,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Hakim Steve Ritikos setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Aftal Mariz yang memohon ditetapkan tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan perubatan mangsa disiapkan.

Tertuduh, 72, dari Tudan Desaras di sini, didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh yang menjalankan perniagaan kedai runcit telah dituduh merogol seorang budak perempuan berusia 11 tahun dan 11 bulan (semasa kejadian) yang juga merupakan anak jirannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 7 pagi hingga 8 malam pada 10 Oktober 2017 sehingga  jam 7 pagi hingga 8 malam pada 22 Disember 2017 di rumahnya di Tudan Desaras di sini.

Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan gangguan seksual secara fizikal terhadap mangsa yang sama dengan niat melakukan hubungan seks.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada masa dan di tempat yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Advertisement