Anda di sini

Facebook akan sekat akaun menjelang pilihan raya AS

Advertisement
 Gambar fail 17 Oktober menunjukkan para pekerja di dalam ‘bilik perang’ Facebook semasa demonstrasi media di Menlo Park, California. — Gambar AFP
MENANGANI KEBIMBANGAN: Gambar fail 17 Oktober menunjukkan para pekerja di dalam ‘bilik perang’ Facebook semasa demonstrasi media di Menlo Park, California. — Gambar AFP

SAN FRANCISCO: Facebook kelmarin berkata ia menyekat kira-kira 30 akaun dalam platformnya dan 85 lagi dalam Instagram selepas polis memberi amaran bahawa ia mungkin ada kaitan dengan “entiti asing” yang cuba campur tangan dalam pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas agensi-agensi perisikan dan penguatkuasaan undang-undang AS berkata rakyat Amerika harus waspada terhadap usaha Rusia untuk menyebar berita palsu.

Pilihan raya berlangsung semalam (Rabu waktu tempatan).

Satu kajian yang diterbitkan pada minggu lepas mendapati maklumat salah dalam media sosial disebar pada kadar yang lebih tinggi berbanding sebelum pilihan raya presiden 2016, di mana Rusia dituduh memanipulasi kempen propaganda besar yang memihak kepada Donald Trump, yang memenangi pilihan raya pada akhirnya.

“Pada petang Ahad, penguatkuasa undang-undang AS menghubungi kami tentang aktiviti dalam talian yang mereka kesan baru-baru ini dan yang mereka percaya mungkin ada kaitan dengan entiti asing,” kata ketua dasar keselamatan siber Facebook, Nathaniel Gleicher, dalam satu tulisan blog.

“Kami segera menyekat akaun-akaun ini dan kini sedang menyiasatnya dengan lebih terperinci.”

Siasatan setakat ini mengenal pasti kira-kira 30 akaun Facebook dan 85 akaun Instagram yang dipercayai terbabit dalam kelakuan tidak tulen yang bersepadu, kata Gleicher.

Beliau menambah, semua laman Facebook yang ada kaitan dengan akaun-akaun terbabit adalah dalam bahasa Perancis atau bahasa Rusia.

Kebanyakan akaun Instagram yang terlibat adalah dalam bahasa Inggeris, dan beberapa akaun yang memfokus kepada selebriti, akaun lain perdebatan politik.

“Seperti biasa, kami akan membuat analisis kami selanjutnya sebelum mengumumkan apa-apa secara terbuka,” kata Gleicher.

“Tetapi memandangkan kita hanya ada sehari sahaja lagi sebelum pilihan raya penting diadakan di AS, kami mahu orang tahu tentang tindakan yang kami sudah ambil dan fakta seperti yang kami ketahui pada hari ini.”

Walaupun usaha agresif dibuat oleh firma media sosial, ‘berita sampah’ disebar pada kadar yang lebih tinggi berbanding pada 2016 dalam media sosial menjelang pilihan raya kongres AS semalam, kata penyelidik Institut Internet Oxford dalam satu kajian yang diterbitkan Khamis lepas.

Twitter berkata Sabtu lepas, ia memadamkan siri akaun yang cuba berkongsi maklumat salah tetapi tidak memberikan jumlahnya.

Facebook pada bulan lepas berkata ia menurunkan akaun yang dikaitkan dengan usaha Iran untuk mempengaruhi politik AS dan Britain dengan mesej tentang topik hangat seperti imigresen dan hubungan kaum.

Rangkaian sosial itu mengenal pasti 82 halaman, kumpilan dan akaun yang berasal di Iran dan melanggar dasar mengenai kelakuan tidak tulen yang bersepadu.

Gleicher berkata ketika itu terdapat pertindihan dengan akaun yang diturunkan pada awal tahun ini dan dikaitkan dengan media kerajaan Iran, tetapi identiti pesalah belum lagi diketahui.

Tulisan dalam akaun atau laman, termasuk beberapa yang dihoskan oleh Instagram milik Facebook, memberi tumpuan khusus kepada usaha menyemai perselisihan menerusi isu-isu yang begitu memecah-belah dan bukannya kepada calon atau kempen tertentu.

Tulisan sampel yang disebar termasuk kenyataan yang menaikkan kemarahan tentang Presiden AS Donald Trump, Perdana Menteri Britain Theresa May dan kontroversi yang menyelubungi Hakim Mahkamah Agung AS yang baharu dilantik, Brett Kavanaugh.

Platform sosial dalam talian utama telah menerima tekanan yang kuat untuk mengelak daripada digunakan oleh “pelakon buruk” yang mahu mempengaruhi keputusan dengan menerbitkan maklumat salah dan menimbulkan kemarahan pengundi.

Facebook beberapa minggu lalu membuka ‘bilik perang’ di ibu pejabatnya di Menlo Park, California, untuk menjadi pusat nadi dalam usaha memerangi maklumat salah dan manipulasi ke atas rangkaian sosial terbesar oleh pelakon asing yang cuba mempengaruhi pilihan raya di AS dan negara lain.

Penutupan ribuan akaun milik warga Rusia oleh Twitter dan Facebook - selain pendakwaan ke atas 14 orang dari ladang troll yang terkenal di Rusia, Agensi Penyelidikan Internet - telah menumpulkan tetapi sama sekali belum menghentikan usaha mereka untuk mempengaruhi politik AS.

Facebook, yang dipersalahkan kerana tidak berbuat apa-apa untuk mencegah usaha menyebar maklumat salah oleh Rusia dan pihak lain dalam pilihan raya AS pada 2016, sekarang mahu dunia tahu bahawa ia sedang mengambil langkah agresif dengan inisiatif seperti bilik perang.

Bilik perang merupakan sebahagian daripada kawalan keselamatan lebih ketat yang diumumkan oleh Facebook, yang akan menambah kira-kira 20,000 pekerja. — AFP

Advertisement