Anda di sini

Bill Gates sokong ‘revolusi teknologi tandas’ di China

Advertisement
 Bill Gates menyampaikan ucapan semasa ekspo tersebut di Beijing, semalam. — Gambar AFP
MENGEJUTKAN: Bill Gates menyampaikan ucapan semasa ekspo tersebut di Beijing, semalam. — Gambar AFP

BEIJING: Sebagai salah seorang lelaki paling kaya dan dermawan paling aktif di dunia, tangan Bill Gates biasanya penuh - cuma bukan dengan najis.

Justeru amat mengejutkan apabila pengasas Microsoft itu membawa sebuah balang yang penuh dengan najis manusia di sebuah forum mengenai masa depan tandas di Beijing semalam.

Aksi itu merupakan satu usaha untuk menarik perhatian kepada satu masalah yang menjejaskan negara membangun di seluruh dunia: tandas yang tidak mencukupi.

“Di tempat tanpa sanitasi, anda mempunyai jauh lebih banyak daripada itu,” kata Gates, yang menunjuk kepada najis di dalam bekas jelas yang diletak di atas sebuah meja.

“Dan apabila budak-budak bermain di luar, mereka terdedah kepadanya sepanjang masa, dan itulah sebabnya kenapa kami mengaitkan ini bukan hanya dengan kualiti kehidupan, tetapi dengan penyakit dan kematian dan dengan malnutrisi,” katanya kepada hadirin.

Bilionair itu telah menggunakan sebahagian daripada kekayaannya yang begitu banyak untuk menyediakan kemudahan sanitasi yang bersih dan selesa kepada hampir separuh daripada populasi dunia yang tiada kemudahan tersebut.

“Apabila kita memikirkan tentang perkara yang asas dan berada di tempat yang sama dengan kesihatan dan cukup makanan, kita berpendapat bahawa memiliki tandas yang munasabah ternyata berada dalam senarai itu,” kata Gates.

Gates pernah menggunakan taktik kejutan untuk menarik perhatian kepada usahanya memerangi penyakit.

Pada 2009, beliau melepaskan nyamuk di sebuah Persidangan Teknologi, Hiburan, Reka Bentuk (TED) di California untuk menekankan perkara tentang gigitan malaria yang membawa maut - dan menunggu selama kira-kira seminit sebelum dia memberi jaminan kepada hadirin bahawa nyamuk yang dilepaskan itu bebas daripada penyakit.

Gates berada di Beijing semalam untuk ‘Ekspo Tandas Ciptaan Semula’, sebuah forum yang dihoskan oleh Yayasan Bill & Melinda Gates yang mengetengahkan pelbagai teknologi tandas moden bagi menggantikan pembetung, menjadikannya lebih mudah dan lebih murah untuk memasang peralatan tersebut.

Ekonomi nombor dua di dunia itu sedang menjalankan usaha untuk memperbaiki tandas yang terkenal kerana baunya yang begitu busuk, satu kempen yang Presiden Xi Jinping sebut sebagai ‘revolusi tandas’.

“China telah mencapai kemajuan yang hebat dalam usaha memperbaiki kesihatan dan sanitasi bagi jutaan manusia,” kata Gates.

“China mempunyai peluang untuk melancarkan kategori baharu dalam penyelesaian sanitasi tanpa pembetung yang inovatif dan akan memanfaatkan jutaan manusia di seluruh dunia.” — AFP

Advertisement