Anda di sini

PM tolak dakwaan Belanjawan 2019 ciplak kerajaan dahulu

Advertisement
 Dr Mahathir (dua kanan) melawat ruang pameran pemakanan seimbang selepas melancarkan Kempen Gaya Hidup Aktif (WALK) 2018 di Setia Alam dekat Shah Alam, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga kanan). — Gambar Bernama
LAWATAN: Dr Mahathir (dua kanan) melawat ruang pameran pemakanan seimbang selepas melancarkan Kempen Gaya Hidup Aktif (WALK) 2018 di Setia Alam dekat Shah Alam, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga kanan). — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak  dakwaan pembangkang  kononnya  Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam menciplak apa yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Perdana menteri berkata pembangkang boleh berkata apa sahaja, tetapi mereka tidak mempunyai kuasa.

“Dia (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) boleh kata apa sahaja sebab (dia) tiada kuasa.

“Kita tak hutang berbilion-bilion ringgit,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Hidup Aktif (WALK) di Oval Lawn Setia City Park di sini, semalam. Hadir sama isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa Belanjawan 2019 tiada kelainan berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini di mana kerajaan lebih menyentuh perkara yang tidak membawa ‘keajaiban besar’ untuk manfaat rakyat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa pembentangan Belanjawan 2019 meminggirkan negeri di Pantai Timur, Dr Mahathir berkata, perkara itu tidak benar.

“Kita ada program khusus (untuk negeri di Pantai Timur),” katanya.

Tuan Ibrahim ketika mengulas Belanjawan 2019 berkata kerajaan PH langsung tidak menyentuh aspek pembangunan wilayah khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dikuasai pembangkang. — Bernama

Advertisement