Anda di sini

Malaysia Baharu berteraskan tadbir urus yang baik, integriti

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih pentadbiran Putrajaya selepas memenangi Pilihan Raya Ke-14 pada Mei, 2018, yakin dengan keupayaannya untuk mentransfomasikan negara ke arah Malaysia Baharu berteraskan prinsip keadilan, tabdir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.

Kerajaan baharu akan melakukan beberapa perubahan dasar, strategi dan cara pelaksanaan untuk memenuhi harapan rakyat, membina semula serta mengembalikan kegemilangan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2019, yang pertama di bawah kerajan PH.

Laporan dengan 142 muka surat itu dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Dr Mahathir, 93, berkata bagi mencapai status negara maju dan inklusif, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.   

Sehubungan ini, katanya, kerajaan menggalakkan kerjasama untuk mewujudkan negara keusahawanan serta menggalakkan kerjasama dalam kalangan 4P iaitu rakyat, profesional, sektor swasta dan awam untuk meneraju pelbagai inisiatif pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, untuk meneraju pelbagai inisiatif pembangunan negara Kementerian Kewangan juga akan mempercepatkan pelaksanaan sistem bajet asas sifar, merasionalisasi program bantuan, menambah baik proses perolehan serta memperluas asas hasil.

Menyentuh mengenai hasrat Malaysia untuk memperteguhkan semula kedudukan negara di peringkat antarabangsa, Dr Mahathir berkata negara akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dengan rakan dagang utama dan negara yang berpotensi menjadi rakan dagang melalui penyediaan persekitaran perniagaan yang mesra dan bersesuaian dengan prinsip kawasan aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).

“Dengan mendukung prinsip kemakmuran jiran, kita akan terus memberi penekanan kepada menjalinkan kerjasama anggota ASEAN dan blok perdagangan serantau yang lain.

“Di samping itu, tumpuan lebih utama juga akan diberikan bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan China dan Jepun seiring dengan Dasar Pandang Ke Timur,” katanya.

Sementara itu, dalam meneruskan objektif yang terkandung dalam Wawasan 2020, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memastikan ekonomi Malaysia terus berada di landasan pertumbuhan mampan dengan menyediakan persekitaran yang selesa dan menggalakkan untuk memakmurkan pelabur dan perniagaan.

“Justeru, industri perlu memanfaatkan peluang ini dengan menerima pakai teknologi maju bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga menyedari betapa pentingnya peranan generasi muda dalam memacu pertumbuhan masa hadapan.

Selaras dengan era Industri 4.0, usaha juga akan diambil untuk membolehkan generasi ini menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mahir digital.

“Kami percaya inilah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kami. Kerajaan yakin, dengan kerjasama dan sokongan erat daripada rakyat, amanah ini pasti dapat dilaksana dengan jaya dan tercapailah harapan kita untuk membina Malaysia Baharu yang bermaruah dan berintegriti,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan sokongan majoriti rakyat yang menentukan kejayaan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas adalah satu pencapaian yang akan terukir dalam sejarah negara, yang seterusnya menandakan pertukaran pertama parti pemerintah sejak negara mencapai kemerdekaan 61 tahun lalu. — Bernama

Advertisement