Anda di sini

The Blues kecewakan Lampard di Stamford Bridge

Advertisement
 Fabregas menjaringkan gol ketiga Chelsea ketika beraksi pada perlawanan pusingan keempat Piala Liga Inggeris menentang Derby di Stamford Bridge Rabu lepas. — Gambar AFP
GOL KEMENANGAN: Fabregas menjaringkan gol ketiga Chelsea ketika beraksi pada perlawanan pusingan keempat Piala Liga Inggeris menentang Derby di Stamford Bridge Rabu lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Chelsea menyingkirkan kelab Derby County, yang dibimbing bekas pemain bintangnya, Frank Lampard, dari Piala Liga Inggeris walaupun dua gol Chelsea dijaringkan pemain Derby Rabu lepas.

Chelsea, yang dibimbing Maurizio Sarri, menang 3-2 dengan kesemua lima gol dijaringkan pada separuh masa pertama pada malam di mana Arsenal, Tottenham Hotspur dan Middlesbrough juga meneruskan kemaraan.

Dua kesilapan awal pertahanan di Stamford Bridge dari Fikayo Tomori – dipinjam dari Chelsea – dan Richard Keogh – di antara gol penyamaan Jack Marriott, meletakkan Chelsea 2-1 di hadapan.

Tidak resah, Derby, yang beraksi dalam Liga Kejuaraan, mengikat kedudukan tidak lama sebelum rehat menerusi rembatan Martyn Waghorn tetapi Cesc Fabregas meletakkan Chelsea kembali di hadapan.

Lampard, salah seorang pemain terhebat Chelsea, merasakan pasukannya wajar mendapat keputusan seri berdasarkan peluang yang dicipta tetapi menambah beliau seorang “yang bertuah” untuk dapat menikmati perlawanan seperti ini.

“Perbezaan di antara kedua-dua pasukan ialah mereka menjaringkan tiga gol... tapi oh, sebenarnya kami menjaringkan empat gol! Saya bergurau kerana saya bangga,” kata beliau kepada penyiaran Sky Sports. “Bercakap dengan kakitangan mereka (Chelsea), mereka berkata kami bermain dengan baik.

“Saya menghormati kelab ini, saya tidak mahu bercakap tentang kelab ini. Saya bangga dengan pemain saya.”

Lampard menerima sambutan hangat dari penonton pada kepulangan pertamanya di Stamford Bridge sebagai pengurus sebelum sepak mula perlawanan.

Bersemangat dengan kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Old Trafford, yang dibimbing bekas pengurus Lampard di Chelsea, Jose Mourinho, beliau terkejut dengan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh pasukannya dan menjadikan situasi semakin sukar untuk mereka.

Timori tertolak bola ke pintu golnya sendiri seawal minit kelima selepas gagal menangani hantaran lintang Davide Zappacosta.

Pada pertengahan separuh masa pertama, kesilapan yang sama berulang apabila Keogh gagal menangani satu lagi hantaran Zappacosta selepas mengikat kedudukan dari gol Marriott.

Tetapi Derby tetap beraksi dengan memberangsangkan dan berjaya mengikat kedudukan sekali lagi dari jaringan Waghorn namun Fabregas meletakkan Chelsea kembali di hadapan untuk apa yang akhirnya menjadi gol kemenangan.

Pada perlawanan lain, Arsenal, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain, dipaksa bekerja-keras sebelum menewaskan kelab Liga Satu, Blackpool 2-1, menerusi gol Stefan Lichtsteiner dan Emile Smith-Rowe.

Dua gol dari Son Heung-min dan Fernando Llorente memastikan Spurs menang 3-1 ke atas West Ham United sementara kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough, menyingkirkan kelab Liga Perdana, Crystal Palace 1-0.

Burton Albion dan Bournemouth menempah tempat ke suku akhir pada hari Selasa. — AFP

Advertisement