Anda di sini

Perhimpunan #KitaLawan: Adam Ali kekal bebas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Aktivis Adam Adli Abd Halim kekal bebas daripada pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskannya atas pertuduhan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membatalkan rayuan pendakwaan selaku perayu, selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihaknya tidak mahu meneruskan rayuan itu yang difailkan pada 4 Disember tahun lepas.

“Dengan ini mahkamah membatalkan rayuan pendakwaan,” kata hakim itu selepas Adam Adli, selaku responden yang diwakili peguam Eric Paulsen tidak mengemukakan sebarangan bantahan.

Pada 28 November lalu, Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskan Adam Adli, 29, daripada pertuduhan menyertai perhimpunan #KitaLawan, tiga tahun lepas tanpa memanggilnya  membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Adam Adli dan Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa, 48, didakwa bersama-sama menyertai protes jalanan tersebut bermula di depan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara jam 4 petang dan 7.30 malam, 28 Feb 2015.

Mereka  didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun pada 2 Nov lepas, Mohd Fariz dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan menutup kes terhadapnya berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Adam Adli berkata dia telah menyambung semula pengajiannyan dalam jurusan ‘Teaching English as Second Language’ (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim sejak lapan minggu lepas.

“Semua kes terhadap saya telah selesai. Ini kes terakhir saya. Selepas enam tahun digantung, sekarang saya kembali ke UPSI untuk menyambung pengajian,” katanya. — Bernama

Advertisement