Anda di sini

Maxis kembangkan rangkaian gentian rumah di kediaman twentyfive.7 gamuda land

Advertisement
 Ngan (dua kiri) bertukar dokumen dengan Robert (tiga kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Gamuda Land dengan Maxis, semalam. Turut hadir Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi (kiri) dan Ketua Pegawai Perusahaan Maxis, Paul McManus (kanan). — Gambar Bernama
TERMETERAI: Ngan (dua kiri) bertukar dokumen dengan Robert (tiga kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Gamuda Land dengan Maxis, semalam. Turut hadir Pengarah Eksekutif Gamuda Land, Datuk Abdul Sahak Safi (kiri) dan Ketua Pegawai Perusahaan Maxis, Paul McManus (kanan). — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Penduduk twentyfive.7, sebuah pembangunan bercampur di tengah-tengah Kota Kemuning yang dilaksanakan Gamuda Land Sdn Bhd, akan menikmati pelan gentian rumah yang dibuat khas dengan kelajuan sehingga 300Mbps melalui perjanjian perkhidmatan yang dimeterai antara syarikat berkenaan dengan dan Maxis Bhd, semalam.

Perjanjian itu menyaksikan peruntukan dan penyebaran infrastruktur rangkaian serta perkhidmatan kepada  twentyfive.7, antara pembangunan perbandaran utama Gamuda Land.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason, berkata perjanjian itu adalah sebahagian daripada pelaburan bersama berterusan Maxis dengan pemaju hartanah di negara ini bagi menyediakan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi ke rumah melalui rangkaian gentiannya.

“Kami akan terus melabur dalam menyediakan akses rangkaian gentian di Malaysia. Selain sambungan, kami juga akan bekerjasama dengan Gamuda Land untuk jangka panjang bagi inisiatif pembentukan bersama, selain menyediakan penyelesaian yang dapat meningkatkan daya rumah persendirian, juga keseluruhan komuniti,” katanya pada sidang media selepas majlis tandatangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng, berkata syarikat berkenaan menekankan pelaksanaan kemudahan dan teknologi yang bertepatan di sepanjang reka bentuk pelan induknya dan pembinaan seni bina.

“Prinsip pembinaan bandar Gamuda Land merangkumi perancangan yang menjurus kepada menyediakan infrastruktur dan sambungan yang bersesuaian terlebih dahulu bagi meningkatkan kualiti kehidupan komuniti,” katanya.

Di bawah perjanjian itu, setiap 279 unit rumah di Fasa 1A dan 1B dan 596 unit The Amber Residence di twentyfive.7 dilengkapi dengan pelan Gentian Rumah MaxisONE yang dibuat khas berkelajuan sehingga 300Mbps.

Dengan sokongan Gamuda Land, pelan gentian khas itu datang bersama akses tanpa had iFlix di rumah dan mudah alih, panggilan tempatan percuma tanpa had ke semua mudah alih, talian tetap dan telefon DECT, yang diberi percuma kepada penduduk selama dua tahun dari masa ia diaktifkan.

twentyfive.7 adalah perbandaran pembangunan bercampur bersepadu seluas 257 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM4.2 bilion mengandungi unit rumah dan pangsapuri perkhidmatan yang dikenali sebagai The Amber Residence dan Quayside Mall.

Rumah di Fasa 1A dan 1B dijangka siap menjelang 2020 sementara pangsapuri perkhidmatan The Amber Residence menjelang 2021.

Dalam perkembangan lain, berhubung Bajet 2019 yang akan dibentangkan Jumaat ini, Nason berkata, syarikat berkenaan mencari pelaburan yang pasti memandangkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi membuat pelaburan besar dalam membina infrastruktur rangkaian.

“Kami berharap bajet ini akan menyediakan kepastian untuk masa hadapan,” tambahnya.

Ngan pula berharap, isu pembinaan rumah mampu milik oleh pemaju swasta akan diberikan perhatian dalam bajet ini dengan lebih banyak insentif diperlukan untuk mempromosikan pembangunan hijau di projek perumahan. — Bernama

Advertisement