Anda di sini

Ibu didakwa bunuh bayi lapan bulan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Raut wajah seorang ibu yang didakwa membunuh bayinya berusia lapan bulan, di sebuah bilik kuarters pekerja, Pulau Mantanani, Kota Belud, kelihatan keliru setelah pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, melakukan kesalahan itu pada 18 Oktober jam 1.30 petang.

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Jika sabit salah atas pertuduhan itu boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng memohon tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri untuk pemantauan.

Ketika disoal Majistret Afiq Agoes apakah tertuduh mempunyai masalah komunikasi, tertuduh menggelengkan kepala dan mengatakan tidak.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes terhadap tertuduh pada 18 Disember,  yang hadir dengan memakai baju kurung putih.

Tiada jaminan dibenarkan dan tertuduh diperintahkan ditahan di hospital psikiatri untuk pemerhatian.

Sebelum ini masyarakat dikejutkan kejadian seorang ibu yang mengalami tekanan, mencederakan empat anaknya dengan mengelar leher semua mangsa menggunakan pisau.

Akibat tindakan itu menyebabkan kematian bayi bongsu lelakinya, sementara tiga lagi mangsa berumur lima hingga lapan tahun mengalami kecederaan parah.

Selain itu, ibu berkenaan juga cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya selepas mencederkan semua mangsa.

  • oleh
  • Advertisement