Anda di sini

Pihak berkuasa Indonesia lakukan operasi kesan pesawat terhempas di perairan Karawang

Advertisement
Anggota BASARNAS membuat penyelaman dalam operasi mencari pesawat Lion Air yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang. - Gambar Twitter BASARNAS
Serpihan yang dipercayai dari pesawat Lion Air JT 610. Gambar Twitter BASARNAS
Serpihan yang dipercayai dari pesawat Lion Air JT 610. - Gambar Twitter BASARNAS

Berita berkaitan: Pesawat Lion Air terhempas, belum pastikan rakyat Malaysia terbabit

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia kini melakukan operasi mencari pesawat Lion Air yang dilaporkan terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

Operasi itu melibatkan pasukan tentera dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) di lokasi pesawat itu terhempas iaitu di koordinat  05 48.934 S 107 07.384 E, di perairan Karawang.

Direktur Jenderal Perhubungan Udara Pramintohadi Soekarno berkata pesawat itu membawa 181 penumpang yang terdiri 178 penumpang dewasa, seorang kanak-kanak dan dua bayi, serta tujuh anak kapal.

Kapten pesawat itu, Bhavye Suneja dilaporkan menghubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk berpatah balik, namun kemudiannya terputus hubungan dengan menara kawalan, katanya dalam satu kenyataan di sini.

"Crisis centre (pusat bantuan kecemasan)  telah  dibentuk  di Terminal 1B Bandara Soekarno Hatta dan Bandara Depati Amir Pangkal Pinang untuk keluarga penumpang," kata  Pramintohadi.

Menurut laporan media Indonesia, anggota keluarga penumpang kini memenuhi Lapangan Terbang Amir Pangkal Pinang, bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung insiden itu.

Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan masih mendapatkan maklumat lengkap senarai nama dan warga negara penumpang pesawat berkenaan.

-- Bernama 
 

Advertisement