Anda di sini

Bomba siap sedia menghadapi banjir monsun timur laut

Advertisement

BUTTERWORTH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga bagi menghadapi banjir bermula bulan depan berikutan ketibaan musim monsun timur laut.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid berkata kesiapsiagaan JBPM bagi menghadapi banjir dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu dari segi logistik, keanggotaan dan aspek respons.

“Persiapan menghadapi banjir ini kami lakukan mengikut cuaca semasa sejajar dengan kehendak kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mana telah membuat pelbagai kesiapsiagaan di pelbagai peringkat.

“Selain itu, pihak JBPM juga telah bersiap sedia lebih awal kerana berdasarkan maklumat yang diterima, monsun timur laut kali ini mungkin berlarutan pada hujung tahun hingga awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran sempena sambutan Hari Inovasi JBPM, di sini semalam.

Katanya, pihaknya juga telah mengeluarkan arahan pembekuan cuti terhadap 10,000 pegawai dan anggotanya mengikut keperluan sebagai persiapan menghadapi bencana alam, seperti banjir.

Mohammad Hamdan berkata pembekuan cuti untuk pegawai dan anggota itu khusus di kawasan yang akan mengalami banjir seperti di pantai timur, utara, selatan dan pantai barat membabitkan Kuching, Sibu serta Miri di Sarawak dan pesisiran pantai di Sabah.

Katanya dari segi logistik, pihaknya telah memastikan semua kawasan ‘hotspot’ yang memang dikenal pasti sebagai lokasi banjir dan mungkin terlibat banjir diberikan perhatian serta penugasan yang lebih.

Beliau berkata semua peralatan dan kelengkapan JBPM yang akan digunakan jika berlaku banjir juga berada dalam siap sedia bagi memastikan sebarang penugasan berjalan lancar.

“Ia termasuk peralatan marin dan peralatan untuk pengangkutan supaya pihak bomba dapat memberikan respons lebih cepat jika berlaku sebarang banjir atau bencana ketika monsun timur laut. Pasukan unit udara JBPM juga telah bersiap sedia.

“Kami percaya kesiapsiagaan ini di tahap yang optima dan sekiranya ada berlaku banjir atau bencana pihak bomba akan memberi respons dalam masa yang cepat manakala negeri-negeri yang tidak terlibat secara langsung (dengan banjir) juga telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, peralatan logistik serta respons,” katanya. — Bernama

Advertisement