Anda di sini

Amukan bersenjata di saumaah Pittsburgh

Advertisement
 Pegawai polis yang mengawal saumaah Tree of Life susulan serangan itu berbual dengan (dari kiri) dua lelaki daripada pertubuhan pengebumian Yahudi di hadapan saumaah tersebut di Pittsburgh, Pennsylvania kelmarin. — Gambar Reuters
TRAGIK: Pegawai polis yang mengawal saumaah Tree of Life susulan serangan itu berbual dengan (dari kiri) dua lelaki daripada pertubuhan pengebumian Yahudi di hadapan saumaah tersebut di Pittsburgh, Pennsylvania kelmarin. — Gambar Reuters

PITTSBURGH: Seorang lelaki bersenjata berdepan 29 dakwaan persekutuan atas jenayah kejam selepas dia melepaskan tembakan semasa majlis penamaan bayi di sebuah saumaah di bandar Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) kelmarin, membunuh 11 orang dan mencederakan enam orang lagi dalam serangan anti-Semitik terburuk dalam sejarah moden AS.

Penembak tersebut dikenali sebagai penduduk tempatan bernama Robert Bowers, 46, yang dilaporkan telah menjerit “Semua orang Yahudi harus mati” ketika menyerbu masuk ke dalam saumaah Tree of Life, di mana puluhan penganut berkumpul pada pagi itu untuk sembahyang Sabbath.

Berjaya diberkas selepas berbalas tembakan dengan polis, suspek kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pendakwa raya AS lewat kelmarin mendakwanya atas 29 pertuduhan jenayah persekutuan dan kesalahan melibatkan senjata api, termasuk 11 pertuduhan menggunakan senjata api untuk melakukan pembunuhan dan 11 pertuduhan menghalang kegiatan keagamaan mengakibatkan kematian.

“Jenayah keganasan adalah berdasarkan kepada undang-undang hak asasi sivil persekutuan yang menghalang jenayah kebencian,” menurut kenyataan.

Pihak berkuasa sebelum itu menyatakan dakwaan terhadap Bowers boleh membawa kepada hukuman mati.

Bercakap dengan nada suara yang agak lemah, Presiden Donald Trump mengecam tindakan jahat pembunuhan beramai-ramai itu, sementara anak perempuan beliau Ivanka yang kini menganut Judaisme, menyatakan: “Amerika lebih kuat berbanding tindakan seorang pentaksub tidak bermoral yang anti-Semitik.”

“Serangan jahat anti-Semitik ini adalah satu serangan terhadap kita semua,” Trump memberitahu para penyokong pada rali pilihan raya di Illinois di mana beliau bermula dengan berucap tentang serangan itu, lantas mendapat sorakan kuat ketika beliau berjanji akan menguat kuasa sepenuhnya hukuman mati bagi jenayah sebegini.

“Kita harus berganding bahu bersama saudara Yahudi kita dalam menentang fahaman anti-Semitik dan menghalang kuasa kebencian.”

Trump menyatakan beliau akan pergi ke bandar Pennsylvania di mana ratusan penduduk berkumpul lewat kelmarin untuk upacara doa dengan diterangi lilin.

Presiden turut mengarahkan semua bendera di Rumah Putih dan di kawasan umum, pangkalan tentera dan stesen tentera laut dikibarkan separuh tiang sehingga 31 Oktober sebagai tanda penghormatan formal untuk mangsa.

Stephen Weiss, 60, penganut yang berada di tempat kejadian, menyatakan telah mendengar beberapa das tembakan dari lobi depan saumaah itu.

“Kami mengadakan sembahyang di dalam saumaah ketika kami mendengar satu bunyi yang kuat,” beliau memberitahu akhbar Tribune-Review.

“Saya mengenal pasti bunyi itu sebagai bunyi tembakan.”

Pihak berkuasa menyatakan Bowers mempunyai selaras raifal serangan dan sekurang-kurangnya tiga pucuk pistol semasa melancarkan serangannya sejurus sebelum jam 10 pagi waktu tempatan, meninggalkan tempat kejadian yang dinyatakan sebagai mengerikan oleh Wendell Hissrich, pengarah keselamatan awam Pittsburgh.

“Salah satu yang terburuk pernah saya lihat. Saya pernah berada dalam nahas pesawat,” kata Hissrich, yang mengesahkan 11 orang telah terbunuh, dan enam orang tercedera, tidak termasuk penyerangnya namun tiada kanak-kanak yang maut.

Serangan di Pittsburgh muncul ketika AS menyaksikan peningkatan mendadak dalam insiden anti-Semitik, sebanyak 57 peratus dari 2016 hingga 2017, kepada 1,986 dari 1,267, menurut Anti-Defamation League, kumpulan hak asasi sivil yang mengesan anti-Semitisme di AS sejak 1970.

Bowers, yang menurut FBI sebagai tidak dikenali sebelum ini oleh pihak penguatkuasaan undang-undang, kelihatan menulis beberapa kenyataan dalam talian anti-Semitik yang lantang, terutama dalam laman sesawang Gab.com, di mana teori konspirasi begitu lazim.

Satu kata-kata yang terdapat dalam laman Bowers berbunyi “Yahudi adalah anak-anak syaitan”, menurut kepada beberapa petikan di dalam akaun yang sekarang dihentikan dikeluarkan oleh laman SITE Intelligence Group yang mengawasi pergerakan ekstremis.

Serangan kelmarin turut muncul ketika ketegangan negara meningkat, sehari selepas seorang peminat Trump dari Florida ditangkap kerana menghantar bahan letupan kepada beberapa anggota pegawai Demokrat, meletakkan negara dalam keadaan goyah sebelum pilihan raya sengit pada 6 November. — AFP

Advertisement