Anda di sini

Loftus-Cheek buktikan dirinya satu ancaman buat lawan

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Sporting CP dan Arsenal di Estadio Jose Alvalade di Lisbon, Portugal. — Gambar Reuters
AKSI SEBENAR: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Europa di antara Sporting CP dan Arsenal di Estadio Jose Alvalade di Lisbon, Portugal. — Gambar Reuters

PARIS, Perancis: Ruben Loftus-Cheek mengambil sepenuh peluang dari penampilan kesebelasan utama yang jarang  berlaku di Chelsea dengan menjaringkan hatrik ketika pasukannya menewaskan kelab BATE Borisov dari Belarus 3-1 sementara Arsenal meneruskan rekod 11 kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Sporting Lisbon dalam aksi Liga Europa Khamis lepas.

Loftus-Cheek, sebahagian dari skuad England di Piala Dunia 2018 di Rusia, hanya bermula dari kesebelasan utama buat kali kedua di bawah bimbingan Maurizio Sarri dan beliau menjaringkan dua gol dalam lapan minit pertama ketika Chelsea menguasai perlawanan di Stamford Bridge.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu menyempurnakan hantaran lintang Davide Zappacosta untuk membuka jaringan seawal minit kedua sebelum menambah jaringan dari satu tendangan sudut pada minit kelapan.

Beliau melengkapkan hatrik dengan satu rembatan dari hujung kotak penalti pada minit ke-54 dan walaupun BATE berjaya menjaringkan gol saguhati pada lewat permainan, ia tidak kelihatan mampu mencemaskan Chelsea.

“Ia berasa sangat bagus sekali,” kata Loftus-Cheek kepada penyiaran BT Sport selepas beliau menjadi pemain pertama Chelsea yang menjaringkan hatrik di Eropah sejak Didier Drogba melakukannya 12 tahun yang lalu.

“Ia berada dalam senarai, ia adalah hatrik pertama saya sejak sekian lama, walaupun sejak bermain untuk skuad remaja. Ia sememangnya sangat menarik.

“Mana-mana pemain akan memberitahu anda di mana ia sangat menarik menjaringkan hatrik dan ia berasa sangat bagus sekali. Saya akan mendapatkan bola yang ditandatangani dan akan menyimpannya dengan baik. Saya berharap ada banyak lagi yang akan tiba.”

Tiga kemenangan dari tiga perlawanan dalam Kumpulan L meletakkan Chelsea diambang kelayakan ke pusingan 32 akhir, dengan Arsenal dijangka akan menyertai mereka selepas menewaskan Sporting Lisbon 1-0 di Portugal.

Danny Welbeck menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-78 untuk memastikan Arsenal dengan sembilan mata maksima dalam aksi Kumpulan E dan meneruskan rekod terbaik kelab sejak 2007.

Pada perlawanan lain, juara tujuh kali Eropah, AC Milan, tewas 1-2 di tempat sendiri kepada Real Betis, menyebabkan skuad kendalian Gennaro Gattuso itu tercicir mata pertama mereka dalam Kumpulan F.

Gol dari Antonio Sanabria dan Giovani Lo Cleso memastikan Betis, pendahulu kumpulan, satu kemenangan berharga di San Siro.

Patrick Cutrone menjaringkan gol saguhati buat Milan, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Samuel Castillejo dilayangkan kad merah pada minit kecederaan.

Olympiakos menewaskan Dudelange dari Luxembourg 2-0 pada perlawanan kumpulan yang sama.

Celtic tewas 0-2 kepada RB Leipzig di Jerman sementara Salzburg mencipta kemenangan ketiga berturut-turut untuk terus kekal sebagai pendahulu Kumpulan B selepas menewaskan Rosenborg 3-0.

Rangers, yang dibimbing bekas bintang Liverpool, Steven Gerrard, masih belum tewas dalam Kumpulan G selepas diikat tanpa jaringan oleh Spartak Moscow, yang menurunkan pasukan ‘kedua’ dengan beberapa pemain  utama tidak dibawa bersama untuk perlawanan di Scotland itu.

“Kami melakukan perubahan besar dari kedudukan kami sebelum ini,” kata Gerrard.

“Kami hampir menang tetapi ia tidak berlaku, apa pun, ia mungkin satu mata yang berharga pada akhir kejohanan.”

Rangers berkongsi lima mata dengan Villarreal di kelompok teratas kumpulan selepas Villarreal membelasah Rapid Vienna 5-0.

Naib juara musim lepas, Marseille, dalam bahaya tersingkir awal dari kejohanan selepas tewas 1-3 kepada Lazio sementara Sevilla membelasah kelab Turki, Akhisar 6-0. — AFP

Advertisement