Anda di sini

IHP September meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) yang mengukur inflasi keseluruhan mencatatkan kenaikan 0.3 peratus pada September 2018 berbanding bulan sebelumnya kesan daripada harga bahan api RON95 yang kekal pada RM2.20 bermula Mac 2018 hingga September 2018, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata walaupun Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah dilaksanakan semula bermula 1 September 2018, namun dari segi indeks, ia tidak menunjukkan perubahan yang ketara jika dibandingkan setahun yang lalu.

“Lima daripada dua belas kumpulan utama masih mencatatkan perubahan harga tahunan yang positif iaitu kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.1 peratus), restoran dan hotel dan pendidikan masing-masing (+1.1 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+0.5 peratus) dan pengangkutan (+0.3 peratus),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan semalam.

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari-September 2018 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017.

Jabatan Perangkaan berkata, secara keseluruhan, tiga negeri melepasi paras IHP nasional 0.3 peratus yang dicatatkan pada September 2018 berbanding September 2017.

“Negeri-negeri tersebut ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+0.9 peratus), Negeri Sembilan (+0.7 peratus) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (+0.4 peratus) manakala Pulau Pinang menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional,” kata jabatan itu.

Sementara itu, kenaikan indeks kumpulan makanan  dan minuman bukan alkohol dicatatkan di kebanyakan negeri di Malaysia.

“Empat negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional (+0.5 peratus) bagi September 2018 berbanding bulan yang sama 2017.

“Indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 3.0 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, diikuti Sarawak (+0.8 peratus) dan 0.7 peratus di Negeri Sembilan serta di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya,” kata jabatan itu. — Bernama

Advertisement