Anda di sini

Sarawak AgroFest akan dijadikan acara tahunan

Advertisement

KUCHING: Sarawak AgroFest akan dijadikan sebagai acara tahunan bagi membantu meningkatkan ekonomi para petani, penternak dan nelayan serta pengusaha industri asas tani secara keseluruhannya di negeri ini.

 Seorang penternak memberi makan kepada kerbau ternakannya yang turut dipamerkan. — Gambar Chimon Upon
PENJAGAAN: Seorang penternak memberi makan kepada kerbau ternakannya yang turut dipamerkan. — Gambar Chimon Upon

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyokong penuh penganjuran festival itu berkata ia akan dianjurkan setiap tahun di lokasi-lokasi lain di negeri ini bagi memberi peluang kepada masyarakat luar bandar terlibat dalam festival ini.

“Sarawak AgroFest merupakan salah satu inisiatif yang dipelopori Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat kita terutama yang terlibat dalam industri asas tani.

“Sebab itu kita akan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan untuk Sarawak dan kita akan anjurkan festival ini bukan sahaja di Kuching tetapi juga di tempat-tempat lain di negeri ini supaya rakyat kita di luar bandar tahu apa yang dilakukan oleh GPS untuk mereka,” katanya.

 Pengunjung mengambil peluang melawat Pavillion Pertanian Pintar yang mempamerkan pelbagai jenis tanaman menggunakan teknologi pintar. — Gambar Chimon Upon
TARIKAN: Pengunjung mengambil peluang melawat Pavillion Pertanian Pintar yang mempamerkan pelbagai jenis tanaman menggunakan teknologi pintar. — Gambar Chimon Upon

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran rasmi Sarawak AgroFest 2018 yang berlangsung di pekarangan Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini bermula 20 hingga 28 Ogos ini.

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak AgroFest yang dianjurkan buat julung kalinya ini merupakan festival pertanian terbesar di Sarawak.

Festival ini merupakan penjenamaan semula daripada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dengan tujuan mempromosikan industri berasaskan pertanian di negeri ini.

Festival ini katanya, menggabungkan elemen pendidikan, pertandingan dan hiburan untuk menarik minat masyarakat menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan utama.

“Dalam tempoh lima hari ini sahaja kita telah berjaya mengutip sebanyak RM500,000 daripada aktiviti jualan pelbagai produk tani dan kita menyasarkan jualan ini akan terus meningkat sehingga hari terakhir festival ini,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menambah, selain aktiviti pameran dan jualan, festival turut meliputi dua hari Persidangan Antarabangsa Industri Asas Tani dan Pertanian (ICAAS).

Pengunjung dalam pada itu turut berpeluang melawat Zoo Mini yang dibuka sempena festival ini selain peluang mengambil bahagian dalam pelbagai bentuk pertandingan dan permainan.

Hari ini, Jumaat akan berlangsung pertandingan masakan ikan air tawar dan cabaran makanan tani, masakan tempoyak dan ulam-ulaman serta kerabu, perkongsian ilmu serta Ratu AgroFest pada sebelah malam.

Pada malam Sabtu pula akan diadakan Konsert Gemilang AgroFest 2018  yang akan menampilkan persembahan daripada juara agro ‘K’ dan persembahan Hi Breed Band yang terkenal dengan muzik rakyat dan barat.

  • oleh
  • Advertisement