Anda di sini

Pertanian terus dibangun

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) menunjukkan buah nanas dan terung Dayak selepas melakukan simbolik pelancaran Sarawak AgroFest 2018 di pekarangan PCC di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Abdullah, Sagah, Uggah dan Dr Abdul Rahman (kiri). — Gambar Chimon Upon
BERKUALITI: Abang Johari (tiga kiri) menunjukkan buah nanas dan terung Dayak selepas melakukan simbolik pelancaran Sarawak AgroFest 2018 di pekarangan PCC di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Abdullah, Sagah, Uggah dan Dr Abdul Rahman (kiri). — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus mencari cara-cara baharu secara inovatif dan lebih holistik dalam membangunkan sektor pertanian di negeri ini.

Berucap pada pelancaran rasmi Sarawak AgroFest 2018 di pekarangan Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini semalam, Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri pengeluar bersih makanan menjelang 2030.

“Saya ada enam perkara untuk dikongsikan yang merupakan strategi penting untuk kita membangunkan lagi sektor pertanian di negeri ini yang mana dulunya dianggap sebagai kegiatan sambilan sahaja bagi masyarakat kita.

“Pertama Sarawak berkehendakkan kerjasama dengan syarikat peneraju yang akan menjadi pemangkin dan penghubung antara petani, penternak dan nelayan ke  pasaran global.

“Kedua, kita perlu mewujudkan usahawan tani dan melatih masyarakat kita supaya menjadi usahawan tani yang moden,” katanya pada majlis tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah. 

Tambah Abang Johari, bagi membangunkan lagi sektor pertanian, kerajaan akan mewujudkan Pusat Pengumpulan Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Samarahan, Limbang, Betong dan lokasi-lokasi strategik di negeri ini.

Peruntukan telah diberikan untuk mewujudkan pusat ini untuk para petani mengumpul hasil tani mereka dan dieksport ke pasaran luar.

“Perkara keempat yang akan menjadi tumpuan kita dalam membangunkan sektor pertanian ialah infrastruktur air dan elektrik di luar bandar kerana tanpa dua infrastruktur ini, sektor pertanian kita tidak mungkin dapat berjaya.

“Sebab itu kita telah meluluskan peruntukan RM2.8 bilion untuk membangunkan bekalan air di luar bandar dalam masa dua tahun dan RM2.3 bilion untuk bekalan elektrik luar bandar,” ujarnya.

Perkara kelima yang dikongsikan oleh Abang Johari dalam usaha membangunkan sektor pertanian di Sarawak ialah dana teraju sebanyak RM200 juta sebagai modal untuk usahawan tani menerokai produk-produk baharu.

Manakala perkara keenam yang dikongsikan oleh Abang Johari semalam adalah kesedaran kepada komuniti petani, penternak dan nelayan di Sarawak akan pentingnya sektor pertanian yang merupakan antara tunjang kepada ekonomi negeri.

“Inilah antara strategi-strategi dalam membangunkan sektor pertanian kita dan apa yang kita perlukan sekarang adalah komitmen dan kerja keras untuk mentransformasikan sektor pertanian kita.

“Saya sebagai ketua menteri akan terus mencari cara-cara baharu secara inovatif dan lebih holistik dalam membangunkan sektor pertanian kita untuk menjadi negeri pengeluar bersih makanan menjelang tahun 2030,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut melancarkan penguatkuasaan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) di Sarawak oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak sebelum lawatan ke tapak-tapak pameran.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol serta yang lain.

  • oleh
  • Advertisement