Anda di sini

NATO pamer kekuatan ketenteraan kepada Rusia

Advertisement
 Kereta kebal NATO melepaskan tembakan sewaktu eksesais Iron Tomahawk di Latvia pada 23 Oktober. — Gambar Reuters
EKSESAIS TERBESAR: Kereta kebal NATO melepaskan tembakan sewaktu eksesais Iron Tomahawk di Latvia pada 23 Oktober. — Gambar Reuters

OSLO: Norway menganjurkan eksesais terbesar NATO sejak tamatnya Perang Dingin bermula semalam untuk mengingatkan Rusia bahawa Pakatan itu tetap bersatu walaupun benih keraguan ditanam oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Kira-kira 50,000 askar, 10,000 kenderaan, 65 kapal dan 250 pesawat dari 31 negara mengambil bahagian dalam ‘Trident Juncture 18’, bertujuan untuk melatih Pakatan Atlantik itu mempertahankan negara anggota selepas meng-alami serangan.

“Sejak beberapa tahun lalu, persekitaran keselamatan di Eropah sudah merosot dengan signifikan,” kata Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg dari Norway.

“‘Trident Juncture’ menghantar mesej jelas kepada negara-negara kita dan kepada mana-mana musuh berpotensi. NATO tidak mencari sengketa tetapi kami tetap bersedia untuk mempertahankan semua sekutu daripada sebarang ancaman,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Walaupun “musuh berpotensi” tidak disebut secara rasmi, Rusia berada dalam fikiran semua orang.

Negara itu, yang berkongsi sempadan sepanjang 198 kilometer dengan Norway di Utara Jauh, sudah berulang kali menunjuk-nunjukkan kekuatan angkatan tentera-nya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tentera Rusia sudah me-rampas Crimea, menggugat kestabilan di timur Ukraine, mempertingkatkan keupaya-an angkatan tenteranya di rantau Artik, dan mengen- dalikan eksesais terbesar dalam sejarahnya di Timur Jauh pada September lepas.

Kedutaan Rusia di Oslo berkata ia menganggap ‘Trident Juncture’ sebagai eksesais “anti-Rusia”.

“Aktiviti sedemikian difahami sebagai provokatif, walaupun anda cuba mewajarkannya sebagai bersifat pertahanan semata-mata,” katanya.

Selama berbulan-bulan, Moscow jengkel dengan kehadiran angkatan tentera Barat yang semakin berkembang di rantau berkenaan.

AS dan Britain telah me-ningkatkan kerahan mereka di Norway untuk membiasa-kan anggota tentera mereka dengan peperangan dalam keadaan cuaca sejuk.

Jurucakap kementerian luar Rusia, Maria Zakharova, yang bercakap pada awal Oktober, mengecam apa yang beliau sebut sebagai “ancaman perang” oleh NATO, dan berikrar Moscow akan mengambil “langkah tindakan balas”.

“Negara utama NATO me-ningkatkan kehadiran angkatan tentera mereka di rantau berkenaan, dekat sempadan Rusia,” katanya.

“Tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian pasti akan menggugat kestabilan situasi politik di Utara, dan meningkatkan lagi ketega-ngan,” ujarnya.

Ketegangan meletus Sabtu lepas setelah Trump meng-umumkan beliau akan menarik diri daripada perjanjian nuklear era Perang Dingin, satu langkah yang menurut Rusia boleh melumpuhkan keselamatan global.

Trump, yang menuduh Rusia membuat misil baharu, SSC-8, mengugut untuk menambah senjata nuklear AS.

Walaupun wujud kebimbangan mengenai komitmen Trump kepada Pakatan ber-kenaan – khususnya berhubung klausa pertahanan bersama ‘Artikel 5’ – tentera AS menyumbang kontinjen terbesar kepada ‘Trident Juncture’, dengan lebih 14,000 anggota, termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat.

“Kita mengadakan ekse-sais di Norway tetapi sudah tentulah pengajaran daripada ‘Trident Juncture’ juga relevan bagi negara lain,” kata Stoltenberg.

Pada Selasa lepas, empat askar AS cedera ringan apabila trak yang menghantar bahan terbabit dalam satu kemalangan.

Selain 29 negara anggota NATO, dua negara jiran Norway, Sweden dan Finland, akan menyertai eksesais itu, yang berlangsung sehingga 7 November.

Dua pemerhati tentera masing-masing dari Rusia dan Belarus telah dijemput untuk menyaksikan latihan ketenteraan itu.

Stoltenberg berkata beliau harap Rusia akan “meng-elak kelakuan berbahaya”. — AFP

Advertisement