Anda di sini

Kedua-dua Korea alih senjata api dari Panmunjom

Advertisement
 Pegawai tentera Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Korea Selatan dan Korea Utara menghadiri mesyuarat di perkampungan gencatan senjata Panmunjom dalam Zon Bebas Tentera, Korea Selatan, pada 16 Oktober lalu dalam gambar serahan Kementerian Pertahanan Korea Selatan dan diterbitkan oleh Yonhap. — Gambar Reuters
SEPAKAT: Pegawai tentera Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Korea Selatan dan Korea Utara menghadiri mesyuarat di perkampungan gencatan senjata Panmunjom dalam Zon Bebas Tentera, Korea Selatan, pada 16 Oktober lalu dalam gambar serahan Kementerian Pertahanan Korea Selatan dan diterbitkan oleh Yonhap. — Gambar Reuters

SEOUL: Kedua-dua negara Korea mengeluarkan baki senjata api terakhir dan membubarkan pos pengawal semalam dari sebuah perkampungan gencatan senjata era Perang Dingin di mana askar bersenjata sudah merenung satu sama lain selama berdekad-dekad, kata kementerian pertahanan di Seoul.

Kawasan Keselamatan Bersama (JSA) – juga dikenali sebagai perkampungan gencatan senjata di Panmunjom – merupakan takat kilat dan lokasi penting bagi diplomasi antara kedua-dua negara Korea sejak mereka berpecah pada 1953.

Ia merupakan satu-satunya tempat di sepanjang sem-padan yang tegang sejauh 250 kilometer di mana askar dari Korea Utara dan Perintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) pimpinan Amerika Syarikat (AS) bersemuka dengan satu sama lain.

Pada hari ini (Jumaat), semua pengawal akan meletak senjata, kata jurucakap kementerian Choi Hyun-soo, sebahagian daripada pemulihan hubungan diplomatik baru-baru ini antara kedua-dua musuh yang semakin aktif.

“Saya sedar bahawa ia sedang berjalan mengikut rancangan,” kata Choi kepada pemberita.

Panmunjom adalah tempat di mana gencatan senjata yang menamatkan Perang Korea ditandatangani.

Ia dipilih sebagai zon berkecuali sehingga “insiden pembunuhan kapak” pada 1976 apabila askar Korea Utara menyerang sekumpulan pekerja yang cuba menebang sebatang pokok di dalam Zon Bebas Tentera (DMZ), sehingga menyebabkan kematian dua anggota tentera AS.

Selepas ia dibebaskan daripada tentera, JSA akan dikawal oleh 35 kakitangan tidak bersenjata dari setiap negara dan “kebebasan pergerakan” akan dibenarkan bagi pelawat dan pelancong, menurut satu perjanjian ketenteraan yang ditandatangani kedua-dua negara Korea pada bulan lepas.

Korea Selatan dan Utara – yang masih berperang secara teknikal – bersetuju untuk mengambil langkah bagi meredakan ketegangan ketenteraan di sempadan mereka dalam satu pertemuan di Pyongyang pada bulan lepas antara Moon Jae-in dan Kim Jong Un.

Kedua-dua pihak selesai mengeluarkan bom periuk api di JSA – yang semakin kerap digunakan untuk meng-adakan rundingan antara kedua-dua negara Korea – pada minggu lepas sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Sidang kemuncak pada September lalu merupakan pertemuan yang ketiga pada tahun ini di antara kedua-dua pemimpin, tatkala pemulihan hubungan baik yang menakjubkan mula bertapak di semenanjung Korea.

Moon mendokong dialog dengan Korea Utara yang selama ini terpinggir untuk memujuknya memansuhkan senjata nuklear.

Kedua-dua negara Korea dan UNC, yang dilibatkan sementara ia mengekalkan bidang kuasa ke atas separuh selatan JSA, akan menjalankan verifikasi bersama sehingga esok (Sabtu).

Ketua UNC, Jeneral Vincent Brooks dari AS, memberitahu pemberita pada Ogos lalu bahawa sebagai komander PBB, beliau menyokong inisiatif yang dapat mengurangkan ketegangan ketenteraan.

Namun beliau menambah sebagai komander tentera gabungan AS-Korea Selatan - salah satu peranannya yang lain - beliau merasakan terdapat “tahap risiko munasabah” dalam rancangan Seoul untuk membubarkan pos pengawal dekat DMZ. — AFP

Advertisement