Anda di sini

Program pembangunan diharap dapat peruntukan yang cukup

Advertisement

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) berharap program-program pembangunan di bawah kementerian dan agensi kerajaan akan dapat peruntukan yang mencukupi di bawah Bajet 2019.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rizal Nainy berkata lebih daripada 15 kementerian dan 60 agensi sedang terlibat dalam pelbagai program pembangunan PKS.

“Kami di SME Corp juga mempunyai strategi jangka panjang, antaranya adalah untuk mewujudkan syarikat perniagaan yang lebih inovatif dan produktif supaya sumbangan mereka kepada  ekonomi, terutama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat,” katanya.

Rizal berkata demikian kepada pemberita semasa SME CEO Forum 2018 di sini semalam.

Katanya lagi, SME Corp, yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, sebelum ini telah menggariskan pelan strategik bagi membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) termasuk usahawan belia dan wanita.

“Matlamat pelan itu adalah untuk membantu kumpulan sasar ini yang mana kami lihat boleh membuat sumbangan yang lebih banyak kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sebagai contoh, SME Corp menyaksikan jumlah usahawan wanita di Malaysia semakin bertambah.

“Sekarang ini, lebih kurang 20.6 peratus daripada jumlah PKS, atau bersamaan dengan lebih 187,000 pertubuhan perniagaan di negara ini dimiliki oleh wanita.

“Ini bermakna mereka memegang lebih daripada 51 peratus kepentingan dalam sesebuah syarikat, atau mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan yang memegang kira-kira 10 peratus ekuiti dalam syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai program bantuan kepada kumpulan B40, berkata bantuan itu lebih berbentuk membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan.

“Mudah-mudahan  dengan tawaran pembiayaan mikro, terutamanya apabila teknologi kewangan mula melonjak, mereka akan lebih sedar dan menggunakan kemudahan ini, selain daripada bergantung semata-mata kepada perbankan konvensional,” katanya.

Rizal berkata akses kepada pembiayaan merupakan salah satu fokus dalam enam Pelan Induk PKS (2012-2020), yang juga selaras dengan tumpuan yang dinyatakan semasa kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 baru-baru ini.

“Akses kepada pembiayaan sentiasa menjadi salah satu cabaran kepada PKS.

“Bagaimanapun, program-program yang sesuai, yang dijalankan oleh kerajaan seperti pengenalan kepada pembangunan keupayaan dan kebolehan, termasuk program latihan, juga membantu PKS untuk pergi lebih jauh,” katanya. — Bernama

Advertisement