Anda di sini

Lapan pasukan mara ke suku akhir

Advertisement

KUCHING: Saingan Liga Serian LSC 2018 kian menarik dengan lapan pasukan telah mengesahkan slot ke peringkat suku akhir selepas peringkat kumpulan berakhir pada minggu lepas.

Lapan pasukan tersebut ialah Armada Pemuda Bukit Semuja, Holdfast FC, Yayasan Sarawak Sanjung Etika, THB FC, Serian Project Team, BFT FC, MARR SC dan KPS Serian.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) Phillip Jabu berkata saingan akan bermula pada Ahad ini (28 Oktober) dengan dua perlawanan berlangsung pada hari tersebut.

“Holdfast FC akan menentang BFT FC bermula jam 1.30 petang disusuli perlawanan kedua yang mempertemukan pasukan Armada dan KPS Serian pada 3.30 petang,” jelas Phillip ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dua lagi perlawanan akan berlangsung pada 4 November depan di mana Serian Projek Team akan menentang THB FC (1.30 petang) manakala satu lagi perlawanan antara Yayasan Sarawak dan Marr SC (3.30 petang).

“Kesemua perlawanan tersebut akan berlangsung di Kompleks Sukan Serian.

“Kita menjangkakan saingan sengit dari pasukan yang berentap kerana semuanya mahukan laluan cerah ke separuh akhir,” katanya.

Menurut Phillip lagi, aksi untuk peringkat separuh akhir dijangka akan berlangsung pada 17 dan 18 November depan.

Katanya, SFA juga memperkenalkan format baharu untuk peringkat separuh akhir di mana empat pasukan terbabit akan beraksi secara liga yang dinamakan Liga Super Serian.

“Kita memperkenalkan format ini kerana mahu memberi peluang kepada empat pasukan tersebut bermain lebih banyak perlawanan.

“Pasukan yang berjaya mencatat kemenangan pada kesemua tiga perlawanan nanti akan muncul juara,” jelas Phillip sambil menambah, saingan liga dijangka akan berakhir pada Disember kelak.

  • oleh
  • Advertisement