Anda di sini

Aksi luar biasa Ozil ‘jerat’ The Foxes di Stadium Emirates

Advertisement
 Ozil (tengah) lakukan gerakan menarik ketika bersaing dengan Vardy pada perlawanan liga di Stadium Emirates, London   lepas. — Gambar Reuters
TARIK PERHATIAN: Ozil (tengah) lakukan gerakan menarik ketika bersaing dengan Vardy pada perlawanan liga di Stadium Emirates, London lepas. — Gambar Reuters

LONDON, England: Pierre-Emerick Aubameyang dan Mesut Ozil mencuri perhatian ketika Arsenal mencipta kemenangan ke-10 berturut-turut dengan menewaskan Leicester City 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di sini Isnin lepas.

Skuad kendalian Unai Emery itu bagaimanapun ketinggalan menerusi gol sendiri pemain pertahanannya, Hector Bellerin pada perlawanan di Stadium Emirates.

Tetapi Ozil, yang menjadi kapten pasukan sekembalinya dari kecederaan belakang, mempamerkan aksi luar biasa untuk mengetuai kebangkitan Arsenal.

Ozil, yang mengenepikan permulaan buruk musim ini, mengikat kedudukan sebelum rehat dan memainkan peranan penting membantu Aubameyang menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua.

Aubameyang menjaringkan dua gol pantas apabila dimasukkan sebagai pemain gantian untuk memastikan Arsenal menang 10 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan untuk kali pertama sejak 2007.

Mereka sudah menjaringkan 30 gol dalam tempoh itu dan naik ke tangga keempat liga, dua mata di belakang pendahulu liga Manchester City.

Pada ulang tahun kelahiran ke-69 bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, ini adalah seperti imbasan yang mengembalikan kegemilangan kelab di bawah kendalian Wenger.

Ozil melengkapkan semangat Arsenal dengan menulis dalam akaun rasmi Twitter beliau: “Saya fikir kami bermain beberapa aksi bola sepak seksi malam ini. Bangga menjadi kapten pasukan.”

Ia adalah permulaan sempurna pada minggu sibuk yang menyaksikan Arsenal bertandang ke Portugal untuk aksi Liga Europa menentang Sporting Lisbon pada hari Khamis sebelum menentang Crystal Palace dalam liga pada hari Ahad.

“Kami berasa gembira kerana kami terus meningkat. Kami perlu bermain dengan teratur tetapi juga mula bermain dengan jiwa raga,” kata Emery.

“Hari ini, prestasi pasukan dan juga Mesut adalah sangat bagus.”

Emery membuat impak memberangsangkan sejak menggantikan Wenger pada penutup musim.

Dua kekalahan berturut-turut di awal musim sudah dilupakan ketika peminat Arsenal mula mengimpikan kelab mencabar kejuaraan selepas kemenangan liga yang ketujuh berturut-turut.

Pengurus Leicester, Claude Puel, berang kerana pasukannya tidak diberikan penalti selepas bola terkena tangan pemain Arsenal, Rob Holding.

“Saya marah dengan keputusan ini kerana usaha bagus dari pemain saya tidak mendapat pertolongan,” katanya.

Insiden tuntutan penalti itu hadir apabila Holding mengangkat tangan dan jelas menampan bola dengan tangan ketika cuba menghalang umpanan Jamie Vardy tetapi pengadil perlawanan tetap meneruskan permainan.

Leicester membuka jaringan apabila Wilfried Ndidi mengumpan bola kepada Ben Chilwell dan rembatan penyudah beliau terkena Bellerin dan masuk ke pintu golnya sendiri.

Tersentak dengan gol itu, Arsenal hampir mengikat kedudukan beberapa minit kemudian tetapi tendangan percuma Granit Xhaka ditepis penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.

Ia membakar semangat Arsenal, yang berjaya mengikat kedudukan apabila Ozil mengumpan bola kepada Bellerin di sayap kanan sebelum hantaran kembali disempurnakan oleh Ozil beberapa saat sebelum rehat.

Leicester mengekalkan rentak permainan selepas rehat dengan Ndidi tidak bernasib baik meletakkan Leicester kembali di hadapan apabila tandukannya terkena palang. — AFP

Advertisement