Anda di sini

Patuhi undang-undang semasa prosiding Ketua Menteri pada 25 Oktober

Advertisement
OMAR semasa memeriksa barisan kawalan kehormat semasa lawatan kerja rasminya di IPD Kota Kinabalu.
OMAR semasa memeriksa barisan kawalan kehormat semasa lawatan kerja rasminya di IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Penyokong parti pembangkang dan kerajaan dinasihatkan agar sentiasa mengawal diri serta mematuhi undang-undang sepanjang tempoh prosiding isu pelantikan Ketua Menteri Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata menurut maklumat yang diterima pihaknya, penyokong parti bagi kedua-dua pihak dijangka akan hadir memberikan sokongan di mahkamah pada 25 Oktober ini.

"Saya menasihatkan penyokong yang hadir agar sentiasa menjaga undang-undang serta menghormati sebarang keputusan yang dikeluarkan pihak mahkamah.

"Kepada penyokong yang turun juga dinasihatkan untuk mengawal tingkah laku dan jangan melakukan sebarang perbuatan yang boleh menggangu gugat keselamatan orang awam.

"Ini termasuklah perbuatan membaling barang kepada penyokong parti lain serta mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak," katanya.

Katanya akan ada tapisan dibuat di luar pintu utama mahkamah dan hanya pihak tertentu sahaja dibenarkan memasuki kawasan mahkamah bagi mengelakkan kesesakan yang boleh menggangu proses prosiding dijalankan.

"Kita juga akan menugaskan seberapa ramai anggota bagi mengawal keadaan selain menempatkan anggota kita di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah berikutan sebahagian penyokong akan turut berada di sana pada hari berkenaan.

"Sekiranya berlaku pergaduhan kita terpaksa melaksanakan tangkapan dan suspek akan disiasat mengikut undang-undang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan lawatan rasminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hari ini.

Omar juga menasihatkan agar penyokong parti tidak membuat sebarang perarakan kerana perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang.

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum membuat sebarang penutupan jalan dan ia akan dilaksanakan hanya jika keadaan mendesak.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, dua mangsa culik warga Indonesia yang dilarikan kumpulan culik untuk tebusan (KFR) di perairan Pulau Gaya,

Semporna pada 11 September kini dipercayai masih berada dalam kawalan kumpulan penculik itu di negara jiran.

Omar berkata setakat ini dua panggilan sudah dibuat oleh pihak penculik masing-masing pada 18 September kepada isteri salah seorang mangsa dan 28 September lalu secara terus kepada majikan mangsa dengan bertanyakan wang tebusan sebanyak RM4 juta.

Katanya setakat ini belum ada sebarang pembayaran dibuat sama ada daripada keluarga mahupun majikan mangsa.

  • oleh
  • Advertisement