Anda di sini

APMM Sabah kesal kenyataan Junz Wong

Advertisement

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memandang serius dan kecewa berhubung kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong mengenai proses pelupusan bot tahanan Vietnam menerusi media massa, kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah Kaptem Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, setakat ini tiada peraturan yang memerlukan  agensi itu melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah untuk tindakan pelupusan bot yang dilucut hak.

“Bot-bot yang ditahan akan disita, disiasat dan didakwa di mahkamah. Jika didapati bersalah dan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia oleh mahkamah, Maritim Malaysia akan melupuskan bot-bot ini mengikut tatacara berpandukan 1Pekeliling Perbendaharaan – Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan AM 2.7 Pelupusan.

“Secara amnya, terdapat tujuh kaedah pelupusan yang telah digariskan. Setakat ini tiada peraturan yang memerlukan agensi melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan tindakan pelupusan bot yang dilucut hak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong yang mendakwa APMM melupuskan dua bot nelayan Vietnam secara diam-diam.

Mengulas lanjut perkara itu, Asmawati menjelaskan bahawa proses pelupusan dua bot nelayan Vietnam seperti yang dilaporkan adalah mematuhi pekeliling perbendaharaan iaitu dilupuskan dengan menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan.

Katanya bot nelayan asing yang dilucut hak adalah tidak dibenarkan sama sekali digunakan semula dan perlu dimusnahkan secara potong, tanam, atau ditenggelamkan dan dua bot nelayan berkenaan telah dilupuskan dengan cara kos sifar oleh dua syarikat tempatan berpangkalan di Kudat yang dilantik APMM.

Katanya, APMM di seluruh Malaysia telah menggunakan kaedah pelupusan berkenaan sekian lama dan kerja pembersihan bot dan pelupusan yang dilaksanakan tidak melibatkan sebarang wang kerajaan sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat yang dilantik.

Menurutnya melalui pendekatan yang digunakan agensi itu, pihak APMM telah dapat menjimatkan sejumlah besar wang kerajaan yang perlu diperuntukkan untuk melaksanakan kerja-kerja pelupusan bot-bot tersebut.

“Agensi tidak menawarkan sebarang sebut harga bagi pelupusan ini kerana ia tidak melibatkan sebarang nilai kepada kerajaan. Agensi ingin menegaskan bahawa tidak timbul isu pelupusan bot dilakukan secara diam-diam dengan tiada proses sebut harga dilaksanakan seperti yang digembar-gemburkan dalam media,” katanya.

Asmawati juga berkata proses penenggelaman bot berkenaan dilaksanakan di perairan Kudat setelah segala prosedur dipatuhi serta mendapat kelulusan daripada agensi dan jabatan kerajaan yang lain seperti Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Menurutnya proses penenggelaman bot berkenaan dilaksanakan dengan disaksikan oleh pegawai yang dilantik daripada APMM sendiri dengan melengkapkan Sijil Pelupusan (KEW.PA-23) dan Sijil Penyaksian Pemusnahan (KEW.PA 22) bagi diserahkan kepada ibu pejabat untuk direkod dan dimaklumkan kepada Perbendaharaan. — Bernama

Advertisement