Anda di sini

R2R English Camp dijayakan di Bintulu

Advertisement
 Murid-murid dan guru-guru merakam gambar kenangan bersama Hiroshi (duduk tengah), Dr Rosli(duduk tiga kanan), Safwan (duduk kiri)dan tetamu lainnya.
IKUTI PROGRAM: Murid-murid dan guru-guru merakam gambar kenangan bersama Hiroshi (duduk tengah), Dr Rosli(duduk tiga kanan), Safwan (duduk kiri)dan tetamu lainnya.
 Murid-murid menunjukkan apa yang dipelajari mereka melalui persembahan pembacaan dalam bahasa Inggeris.
MENARIK: Murid-murid menunjukkan apa yang dipelajari mereka melalui persembahan pembacaan dalam bahasa Inggeris.

INISIATIF dilaksanakan untuk memberi peluang kepada para pelajar berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris di luar bilik darjah dengan rakan sebaya mereka menerusi penganjuran Program Ready To Read (R2R) English Camp selama tiga hari pada 10 hingga 12 Oktober lalu untuk sekolah-sekolah di bahagian Bintulu.

Guru-guru bahasa Inggeris yang turut mengikuti program sama turut diperkenalkan dengan instrumen MyLoPToR bagi membantu mereka menilai penguasaan tahap pembacaan murid Tahun Tiga dalam bahasa Inggeris.

Melalui bengkel itu, Kementerian Pendidikan Malaysia menyerahkan enam set instrumen kepada setiap guru untuk digunakan dalam bilik darjah untuk penilaian pembacaan murid terbabit di sekolah mereka.

Sesi pemantauan juga dijalankan untuk meninjau penggunaan instrumen tersebut dalam kalangan guru pada September lepas yang mendapati guru-guru memerlukan bimbingan lebih mendalam mengenai cara penggunaannya serta cara pelaksanaan program intervensi bagi murid yang lemah dalam matapelajaran itu.

Dalam pada itu, Osaka Gas Company Limited merupakan antara penyumbang dan penyokong besar program yang bermanfaat untuk murid-murid dan guru-guru di negara ini.

Sokongan itu bertujuan untuk memupuk persefahaman dengan negara-negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia dengan menaja serta menyokong program-program pendidikan menerusi bantuan Osaka Gas Foundation of International Cultural Exchange (OGFICE) yang ditubuh syarikat Osaka Gas sejak tahun 1992.

Pengarah Eksekutif OGFICE Hiroshi Sumitomo berkata, Osaka Gas Company Limited bukan sahaja sebagai syarikat pengedar gas asli untuk lebih tujuh juta pelanggannya di Jepun melalui penerokaan gas asli cecair (LNG) oleh negara-negara ASEAN (termasuk Malaysia) bahkan menubuhkan OGFICE yang berperanan memupuk persefahaman dengan negara-negara di Asia Tenggara.

“OGFICE menyokong pendidikan sebagai aktiviti utamanya sekali gus mengkaji peranannya yang dapat membantu menyokong pendidikan di negara terbabit,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutupan rasmi program R2R English Camp anjuran Education Planning Research Division of MoE (Kementerian Pendidikan Malaysia), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bintulu di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Ketua Unit Pendidikan Antarabangsa EPRD MoE Norhayati Uteh, guru-guru serta beberapa pihak yang terlibat dalam program tersebut turut hadir.

Hiroshi menyifatkan penyertaan 74 murid bersama 25 guru dari 25 sekolah rendah di Bintulu dalam program itu akan membantu mereka dalam proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris sekali gus menguasai pertuturan bahasa tersebut.

“Selama tiga hari program itu diadakan, mungkin ada murid yang letih dan sukar menggunakan bahasa Inggeris memandangkan sebelum ini mereka mengguna bahasa pengantara di sekolah dalam bahasa Melayu, namun pembelajaran bahasa itu apabila dikuasai dengan baik membawa manfaat besar untuk mereka berkomunikasi dengan pelbagai orang dari pelbagai negara seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau berharap murid-murid yang menyertai program itu dapat belajar bahasa Inggeris dengan baik serta dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan lancar terutamanya dengan komuniti luar negara pada masa hadapan.

“Melalui pengalaman yang saya perolehi, apa yang penting seseorang yang ingin belajar dan menguasai bahasa Inggeris perlu sentiasa menggunakan bahasa itu dalam pertuturan mereka, mengulang penggunaan bahasa itu dan terus belajar menguasainya,” katanya.

Katanya, kadangkala seseorang itu takut untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bimbang salah sebutan tetapi dengan pendekatan terus belajar dan sentiasa menggunakan bahasa itu pastinya seseorang itu boleh menambah baik cara pertuturannya dan kesannya akan dapat berkomunikasi dengan semua orang.

Justeru beliau berharap semua murid yang menyertai program itu akan mampu menjadi individu yang universal setelah menguasai bahasa tersebut di samping menghargai inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia menganjur program yang akan terus disokong pihaknya untuk penganjuran pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Ketua Sektor Perancangan Mikro EPRD Dr Rosli Ismail yang mewakili Pengarah EPRD berkata, murid-murid yang menyertai program selama tiga itu begitu gembira dan aktif menyertai aktiviti yang diadakan terutamanya dalam aktiviti pembelajaran bahasa Inggeris.

Berikutan itu beliau berharap murid-murid terbabit akan meneruskan usaha mereka untuk bertutur dan menguasai bahasa Inggeris dengan rakan-rakan mereka bukan hanya di sekolah tetapi di luar sekolah.

“Aktiviti yang melibatkan guru itu juga bermanfaat dalam usaha mereka untuk menambah baik modul pengajaran bahasa Inggeris yang akan dipraktikkan dalam bilik kelas di sekolah masing-masing,” katanya sambil menjelaskan, program itu yang kedua diadakan di Bintulu dan berharap Osaka Foundation akan terus menyokong dengan memperluas penganjurannya ke Kuching dan Miri.

Sementara itu, Pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bintulu Muhamad Safwan Abdullah yang mewakili Pegawai PPD Bintulu berkata, pihaknya menghargai inisiatif EPRD dengan sokongan Osaka Gas yang menjadikan program itu realiti dan membantu menjayakannya.

“Penyertaan aktif murid dan guru membawa kepada kejayaan program tersebut dengan harapan pembelajaran yang diperolehi akan membantu proses pembelajaran dan pengajaran bahasa Inggeris dengan lebih baik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement